Selasa, 2009 Oktober 27

MAJLIS DOA SELAMAT DAN TAHLIL

LAMBAIAN KAABAH -
Sentiasa mengamit hati untuk menjadi tetamuNya




ANTARA PARA TETAMU YANG HADIR -
Gambar ikhsan Snap Maut Blogger Kuntong




SAYA DAN ABAH KESAYANGAN BERSAMA MELAYAN TETAMU
YANG SUDI HADIR
DI MAJLIS DOA SELAMAT KAMI



Pada 24 Oktober, 2009 ( Sabtu ) lepas, bermula jam 12.00 tengahari hingga 5.00 petang, saya bersama keluarga telah mengadakan satu Majlis Doa Selamat dan Tahlil di kediaman bapa/saya di Pekan Semerah, Batu Pahat. Maaf tidak dapat mengundang semua blogger di maya ini, bukan apa - saya tiada berkesempatan untuk menulis dan menjemputnya diruangan ini.

Majlis tersebut bersempena dengan bulan Zulkaedah dan Zulhijjah ini, InsyaAllah jika tiada apa aral melintang dan dengan ketentuanNya jua, kami berdua akan berangkat menunaikan rukun Islam ke 5 ( fardhu Haji ) pada bulan hadapan. Mudah-mudahan. Ramai ahli keluarga dan adik beradik, sanak saudara yang telah bersusah payah sudi membantu menjayakannya.

Beberapa rakan blogger yang sempat hadir Kuntong-Wahnuar, Amir Hamzah-Segalanya Mungkin, Lenz- Distorition, Is - Mahligairezki dan keluarga, Nurul Izza JB, Zarith Zaihasra ( Bakal Pengantin Baru ) semampu yang saya ingat dan semua rakan sekerja, sahabat sekampung, saudaramara, teman taulan yang berkesempatan dari jauh dan dekat untuk hadir dan menyumbangkan tenaga.

Di ruang lingkup ini, saya dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang telah membantu dan menyumbang tenaga, masa, wang ringgit dan segalanya bagi menjayakan majlis saya. Terutamanya kepada Imam, jemaah dan kariah Surau Pekan Semerah dan Masjid Jamek Kg Sarang Buaya yang telah menyempurnakan majlis doa selamat dan tahlil keluarga.

Saya memohon ampun dan maaf kepada semua diatas segala kesalahan dan silap saya, makan minum saya minta dihalalkan. Sebagi manusia yang naif dan daif, saya, bapa dan keluarga memohon maaf dan keampunaan dari semua manusia yang pernah mengenali kami. Jika ada tutur kata, kelakuan dan sebaginya harap maafkan.

Doa saya mudah-mudahan anda semua di bawah Rahmat Allah SWT jua.

JIKA TIDAK DIKENAL IKAN,
TUHAN TAHU IA KAH BUKAN.


INSYAALLAH... KITA AKAN BERSAMA LAGI DILAIN CATATAN, JIKA SAYA DIPINJAMKAN USIA DI MAYA INI.

SALAM SAYA BUAT SEMUA WARGA MAYA.


Rabu, 2009 Oktober 07

PERJUMPAAN MALAM MESRA BLOGGER BP

MENUNGGU HIDANGAN...BILA NAK MULA NI?



GAMBAR BLOGGER BP BERSAMA AHLI KELUARGA
Duduk dari kiri : Leyah (izza), Neezareef, Jaja Bini The Rock, Eiza
Berdiri : Isteri-isteri Blogger - Tuan Rumah Bro Kuntong, The Rock
Zedmagel, Rouzlen ( pemalu ) Amirhamzah64..


INI GAMBAR FAMILY BRO ZED - Antara ahli keluarga yang paling ramai hadir

Malam tadi, termeterilah satu perjumpaan blogger BP di rumah Bro Kuntong, walaupun tak besar, tetapi sangatlah meriahnya. Pertemuan pertama masing-masing agak menjaga imej dan tutur kata yang sopan, sebab bulan raya.

Jamuan memang sedap, terima kasih Bro Kuntong dan isteri Kak Arah yang bersusah payah memasak untuk kami semua mebokonya. Banyaklah perkara-perkara formal yang kami bualkan bagi mendaya dan mengayakan blog. Lepas pertemuan ini, dijangka beberapa blogger BP akan membuat pertemuan di rumah blogger yang lain, misalnya rumah baru Amirhamzah, rumah mewah Rouzlen, Jaja, Eiza, Leyah, Neezareef dan lain-lain.

Suasana Hari Raya masih kelihatan meriah lagi, apabila bunglow Bro Kuntong di sirami lampu neon yang benderang disekelilingnya.

Tahniah kepada semua rakan-rakan blogger yang hadir pada malam tadi kerana antara kita saling mengeratkan lagi tali persaudaraan Islam diantara kita. Kepada Bro Kuntong jangan serik menaja pertemuan yang sebegini lagi.

Gambar-gambar dipetik dari blog rakan-rakan yang telah dicilok tanpa kebenaran.


Dari saya dan keluarga :

KALAU ADA SUMUR DILADANG,
KALAU ADA JARUM YANG PATAH,
BOLEH KITA MENUMPANG MANDI,
LETAK MOLEK DI ATAS PETI,
KALAU ADA UMUR YANG PANJANG,
JIKA TERDAPAT SILAP DAN SALAH,
JAGAN DI SEMAT DISANUBARI,
BOLEH KITA BERTEMU LAGI,

SALAM SYAWAL DAN MAAF ZAHIR BATHIN KEPADA RAKAN-RAKAN SEMUA.


Selasa, 2009 Oktober 06

PERJUMPAAN MALAM MESRA HARI RAYA BLOGGER BATU PAHAT


RUMAH KAYU KAMPUNG SEPERTI INI
SUDAH JARANG KELIHATAN DI BATU PAHAT

MALAM INI GENAP 18 SYAWAL 1430H, SUDAH 18 HARI KITA SEMUA MENYAMBUT SYAWAL. TETAPI BAGI PENDUDUK DAN MASYARAKAT KITA DI BATU PAHAT, SEOLAH-OLAH MELIHAT SYAWAL BARU BERMULA. APA TIDAKNYA BAGI SEBILANGAN TAMAN PERUMAHAN ATAU KAMPUNG, ZIARAH MARHABAN ATAU BARA'AN BARU SEPARUH KAMPUNG.

SELEPAS MAGHIRIB, MALAM INI DI RUMAH BLOGGER KUNTONG - WAHNUAR, SATU PERJUMPAAN MESRA HARI RAYA UNTUK SEMUA BLOGGER DI MAYA INI AKAN DI ADAKAN DI KG MAMPAN, BATU PAHAT BERMULA JAM 8.00 MALAM. PERJUMPAAN INI KHASNYA UNTUK BLOGGER BP DAN JOHOR. TETAPI SEBAB HARI RAYA SESIAPA PUN BOLEH BERTAMU MALAM INI. KITA BELASAH LE APA YANG PATUT DAN MANA SAHAJA YANG DIHIDANGKAN.

IDEA PERJUMPAAN MESRA SEPERTI INI SANGAT KREATIF DAN BOLEH DIIKUTI, KERANA SELAMA INI KITA HANYA KENAL DI MAYA, TIDAK REALITI. TETAPI BAGI DAERAH DAN NEGERI LAIN KHASNYA DI WP KUALA LUMPUR PERTEMUAN BLOGGER SERING DI ADAKAN PADA SETIAP HUJUNG MINGGU.

MENU JAMUAN MEMANG MENGANCAM KESELAMATAN, DENGAR CERITA AYAM KAMPUNG JAGUH MASAK UNGKEP, UDANG TUAHEA TIGA RASA, LOBSTER OPOR, DAN JALA URAI KARI AYAM, MEE BANDUNG MUAR DAN LAIN-LAIN LAGI LE, NGENCES LE SAYA MENDENGARNYA.

CUMA DALAM HATI BERBAUR ANTARA NAK DATANG ATAU TIDAK, SEBAB SAYA TAK BERAPA KENAL BLOGGER BP NI. TAPI OLEH KERANA PERJUMPAAN NI DI HARI BAIK DAN BULAN YANG MULIA, SAYA KETEPIKANNYA JUGA PERASAAN SEGAN DAN MALU , LALU MEMBUAT KEPUTUSAN INSYAALLAH SAYA AKAN CUBA HADIR.

SAYA MENDENGAR CERITA KEBANYAKAN DIANTARA MEREKA KEPALA MEMANG SEDAP DAN BOLEH JOIN.

APA-APA PUN INSYAALLAH PERGI, BUKANNYA APA UNTUK MENGERATKANLAH PERTALIAN SILATURAHIM DI ANTARA KITA SESAMA BLOGGER MUSLIM DI BULAN YANG MULIA INI.


JUMPA ANDA SEMUA DI SANA..........

Jumaat, 2009 September 18

AIDILFITRI KALI INI.....


PELITA LIKUR






HUJAN


SETELAH MENUNGGU SELAMA SEBULAN
HARI INI ....
AIDILFITRI DAH BERTANDANGAN
BETUL-BETUL DIHADAPAN
PINTU
HATI DAN KEIMANAN KITA

"
"
ALANGKAH RIANG DAN LEGANYA
MENYAMBUT BULAN KEMENANGAN
SETELAH SEBULAN MELAWAN HAWA NAFSU..
MUSUH UTAMA DALAM DIRI SENDIRI..

"
"

TERINGAT KATA-KATA SEORANG PUJANGGA

"MENUNGGU SESUATU
TERASA TERSANGAT GHAIRAH
DAN LAMANYA....

APABILA TELAH BERTEMU
IANYA AKAN PERGI
DAN SEPERTI CEPAT MENINGGALKAN
KERANA KEGAIRAHAN RINDU YANG SEMAKIN PUDAR
DAN JAUH"


Begitulah akan hadir dalam sanubari
kita pada setiap tahun...
menunggu kedatangan Aidilfitri
sangat-sangat dinanti,
Apabila bertemu dengannya
kegairahan semakin berkurangan
ia seperti pantas berlalu
dan menjadi semakin jauh..

Perasaan ini hadir dalam diri
sejak kita kecil lagi hinggalah diusia sebegini

UNTUK TAHUN INI
APA YANG SANGAT MENARIK
BERSAMA AIDILFITRI

MUSIM HUJAN YANG DINGIN DAN INDAH
SERTA
PELITA LIKUR DAN NEON MENERANGI HALAMAN

Rabu, 2009 September 16

MALAM LAILATULQADAR



SALAH SATU BENTUK PEMANDANGAN
POHON KAYU YANG SEDANG SUJUD KE BUMI


Jika disebut Malam Lailatulqadar tentulah semua umat Islam dan kawan-kawan semua tahu akan kisahnya. Ianya merupakan satu malam yang ganjil dalam bulan Ramadhan, Malam Seribu Bulan dan ada diriwayatkan kemungkinan banyak berlaku di malam-malam 10 akhir Ramadhan.

Kejadian Malam Lailtulqadar ini terjadi pada diriku sendiri semasa usiaku lebih kurang 9 atau 10 tahun. Sungguhlah dengan mata kepalaku sendiri (seorang kanak-kanak nakal seusia itu menyaksikan satu kejadian ganjil di malam 10 akhir Ramadhan.

Ceritanya begini, jika tak silap aku malam itu merupakan malam ke 26 atau 27 Ramadhan, kerana pelita likur telah bernyala menerangi halaman luas rumah buruk dan kecil kami beberapa malam sebelumnya.

Seusai bersahur pagi itu, dengan cuaca dingin angin hutan di kampung waktu itu, aku terkokol didalam gebar ( selimut ) dilantai papan jarang yang beralaskan sekeping tikar mengkuang usang yang berlubang untuk menyambung mimpi indah Ramadhanku.

" Meng...pagi ini ikut abah pergi masjid untuk Solat Subuh.." kerah abah agak keras. Apa yang mampu nak ku sanggah, aku hanya akur dengan cadangan abah, kerana aku satu-satunya anak lelaki beliau, takan dia nak ajak kakakku yang dua orang tu pulak.

Tak lama kelihatan aku tertenggek membonceng ditempat duduk belakang basikal buruk abah, keriang...keriut..keriang...keriuuttt bunyi rantai basikal abah yang tidak berminyak itu mengikut gaya kayuhan abah.

Lebih kurang 10 minit berkayuh kami sudah menghampiri ke kawasan masjid. Alangkah terkejutnya aku, apabila aku lihat disekitar kawasan masjid pucuk-pucuk kelapa dan pohon-pohon di disekeliling masjid yang biasanya tinggi berdiri kini sujud menyembah bumi.

Aku teringatkan cerita seorang Ustaz yang memberi tazkirah mengenai Malam Lailatulqadar dan tanda-tandanya. Aku pasti pagi ni aku sangat bertuah kerana bertemu dengan Malam Seribu Bulan.

Aku pun mencuit pinggang abah. "Ohoooo pocot....jerit abah terperanjat dan geli dengan cuitan aku dipinggannya. Abah hilang kawalan dek cuitan geliku itu dan kami dua beranak teperosok kedalam parit disempadan pagar masjid.

" Apahal kau ni? Mencuit pinggang aku tak tentu pasal pulak?" bentak abah dengan nada marah kerana tubuh kami dibasahi air parit yang berlumpur.
" Bah...Lailatulqadar dah turun ..Bah....." jawabku sangat pasti.
"Lailatulqadar atuk kamu...Lailatulqadar apa bendanya?"
"Tu Abah tak nampak ke, pucuk kelapa, pucuk getah dan pucuk Bachang semua dah sujud ketanah..tu hah.", balasku sangat yakin.
"Lalaitulqadar kepala hotak kau..kan ke kawasan masjid ni nak diluaskan, pokok-pokok tu baru di tebang dua hari lepas, belum di kemaskan lagi".
"Dah berapa lama kau ni tak ke masjid ni? " tanya abah.

Aku terkedu dan haru tak membalas soalan cepumas abah. Pertama aku dah tak menemui Malam Lailatulqadar, kedua kami berdua beranak basah dalam lumpur dan ketiganya sejak beberapa hari nak menyambut raya ni aku main meriam buluh kat belakang rumah dah tak jengah masjid lagi, sebab raya dah dekat sangat ni.

Kejadian Malam Lailatulqadar itu sentiasa menjadi kenangan manis yang sangat lucu dan indah bagiku hingga sekarang. Bagi abah aku tak tahu, kerana aku tak pernah menceritakan kepada sesiapa pun.

Untuk Abah...Salam Aidilfitri dan aku mohon ampun dan maaf banyak-banyak, Abah.

......KAMI SEMUA SAYANG ABAH, APA LAGI SEJAK EMAK TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH TIGA TAHUN YANG LALU....DAN ALFATEHA BUAT ALLAHYARHAMAH EMAKKU MUDAH-MUDAHNAN ROHNYA DICUCURI RAHMAT JUA..........


KEMERIAHAN AIDILFITRI


KETUPAT IALAH SALAH SATU DARI BEBERAPA JUADAH
UTAMA PADA PAGI HARI RAYA AIDILFITRI


HARI RAYA AIDILFITRI

Dua atau Tiga Hari Lagi kita akan meraikan Hari Raya Aidilfitri - Mungkin Lusa, Tulat atau Langkat Aidilfitri akan kita semarakkannya bersama-sama. Tetapi bagaimanakah kita mengimarahkan Aidilfitri, tanpa kita mengetahui apakah Aidilfitri itu sendiri sebenarnya.

Hari Raya Aidilfitri ( Hari Raya Puasa ) merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia bagi menandakan berakhirnya bulan puasa Ramadan di mana umat Islam akan berpuasa dan beribadat dengan lebih tekun. Hari Raya Aidilfitri bermula apabila anak bulan kelihatan, menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke sepuluh dalam kalender Hijrah Islam. Anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik di Malaysia.

Perayaan Hari Raya Aidilfitri juga merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila sembahyang sunat Aidil Fitri dimulakan.

Perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula sebaik sahaja anak bulan disahkan kelihatan oleh pemegang Mohor Besar Diraja, dimana takbir akan bergema di masjid-masjid menandakan mulanya perayaan Hari Raya Puasa. Pada keesokkan harinya, pada awal sebelah pagi, sesetengah orang akan pergi membersihkan perkuburan orang yang disayangi dan berdoa agar roh mereka dirahmati Allah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri sebanyak 2 rakaat pula akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak lewat sedikit berbanding Hari Raya Korban. Kita disunatkan untuk makan sedikit sebelum menunaikan sembahyang sunat Aidil Fitri. Selain itu kita disunatkan juga untuk pergi dan balik daripada mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri melalui jalan yang berlainan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu, mereka yang muda akan memohon kemaafan daripada mereka yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi antara sesama mereka.

Pada hari raya, Aidil Fitri, kita disuruh agar membantu mereka yang dari golongan fakir miskin. Mereka yang malang ini jangan dilupakan dan hendaklan diraikan dan diberi bantuan sekadar yang mampu.

Pada zaman nabi, perayaan Hari raya Aidil Fitri hanya disambut selama 1 hari sahaja, berbanding dengan perayaan hari raya Aidil Adha yang disambut selama tiga hari.

Selepas meraikan hari raya Aidil fitri, orang Islam juga disunatkan untuk berpuasa enam hari atau 'puasa enam'. Puasa enam boleh dilakukan secara berturut-turut atau berselang-seli tetapi mesti dihabiskan di dalam bulan Syawal. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W.

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti puasa itu dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka pahalanya sama dengan nilai puasa satu tahun (penuh)."
(Riwayat Muslim.)

Teks adalah karya Pengarang : Saudara Mohd Yosri Mohd Yong

Isnin, 2009 September 07

SALAM AIDIL FITRI DAN MAAF ZAHIR DAN BATHIN



Mungkin begitu awal menitip salam lebaran kepada semua blogger di maya ini. Bukannya apa kata orang Johor. Ramadhan akan melabuhkan tiranya lebih kurang 13 hari lagi ( cepatnya Ramadhan bergerak meninggalkan kita semua ). Jika lewat menulis N3 kisah aidilfitri, bimbang di musim perayaan kita tidak menjenguk N3 rakan-rakan. Jika lewat takut N3 dah basi pulak. Kot-kot sibuk punya sibuk nak cari sampul ketupat dan rempah rendang satu apah pun tak ditulis mengenai HARI RAYA AIDILFITRI....

Sementara semangat raya tengah berkobar-kobar ni, eloklah saling mengucapkan salam di antara kita.


DIKESEMPATAN INI SAYA SEKELUARGA
MENGUCAPKAN
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
SERTA
MAAF ZAHIR BATHIN
KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN BLOGGER
DI MAYA INI
SEGALA KHILAF DAN SALAH SAYA
DI POHONKAN KEMAAFAN
ANDAIKATA TUTUR KATA DAN TULISAN SAYA
MENYINGGUNG PERASAAN DAN HATI
TUAN/PUAN SEMUA
SAYA MOHON MAAF BANYAK-BANYAK...


Kepada semua sahabat-sahabat blogger dipersilakan datang ke rumah saya jika ada kelapangan..


ASAP API KAYU BEREMBUN,
NYIUR YANG TUA DIBUAT MINYAK,
JIKA TERDAPAT DOSA BERKURUN,

MOHON DIAMPUN BERBANYAK-BANYAK.


Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Bathin dari Zedmagel & Keluarga