Senarai Blog Saya

Teman, Rakan dan Sahabat

Cari Blog Ini

18 September 2009

AIDILFITRI KALI INI.....


PELITA LIKUR






HUJAN


SETELAH MENUNGGU SELAMA SEBULAN
HARI INI ....
AIDILFITRI DAH BERTANDANGAN
BETUL-BETUL DIHADAPAN
PINTU
HATI DAN KEIMANAN KITA

"
"
ALANGKAH RIANG DAN LEGANYA
MENYAMBUT BULAN KEMENANGAN
SETELAH SEBULAN MELAWAN HAWA NAFSU..
MUSUH UTAMA DALAM DIRI SENDIRI..

"
"

TERINGAT KATA-KATA SEORANG PUJANGGA

"MENUNGGU SESUATU
TERASA TERSANGAT GHAIRAH
DAN LAMANYA....

APABILA TELAH BERTEMU
IANYA AKAN PERGI
DAN SEPERTI CEPAT MENINGGALKAN
KERANA KEGAIRAHAN RINDU YANG SEMAKIN PUDAR
DAN JAUH"


Begitulah akan hadir dalam sanubari
kita pada setiap tahun...
menunggu kedatangan Aidilfitri
sangat-sangat dinanti,
Apabila bertemu dengannya
kegairahan semakin berkurangan
ia seperti pantas berlalu
dan menjadi semakin jauh..

Perasaan ini hadir dalam diri
sejak kita kecil lagi hinggalah diusia sebegini

UNTUK TAHUN INI
APA YANG SANGAT MENARIK
BERSAMA AIDILFITRI

MUSIM HUJAN YANG DINGIN DAN INDAH
SERTA
PELITA LIKUR DAN NEON MENERANGI HALAMAN

16 September 2009

MALAM LAILATULQADAR



SALAH SATU BENTUK PEMANDANGAN
POHON KAYU YANG SEDANG SUJUD KE BUMI


Jika disebut Malam Lailatulqadar tentulah semua umat Islam dan kawan-kawan semua tahu akan kisahnya. Ianya merupakan satu malam yang ganjil dalam bulan Ramadhan, Malam Seribu Bulan dan ada diriwayatkan kemungkinan banyak berlaku di malam-malam 10 akhir Ramadhan.

Kejadian Malam Lailtulqadar ini terjadi pada diriku sendiri semasa usiaku lebih kurang 9 atau 10 tahun. Sungguhlah dengan mata kepalaku sendiri (seorang kanak-kanak nakal seusia itu menyaksikan satu kejadian ganjil di malam 10 akhir Ramadhan.

Ceritanya begini, jika tak silap aku malam itu merupakan malam ke 26 atau 27 Ramadhan, kerana pelita likur telah bernyala menerangi halaman luas rumah buruk dan kecil kami beberapa malam sebelumnya.

Seusai bersahur pagi itu, dengan cuaca dingin angin hutan di kampung waktu itu, aku terkokol didalam gebar ( selimut ) dilantai papan jarang yang beralaskan sekeping tikar mengkuang usang yang berlubang untuk menyambung mimpi indah Ramadhanku.

" Meng...pagi ini ikut abah pergi masjid untuk Solat Subuh.." kerah abah agak keras. Apa yang mampu nak ku sanggah, aku hanya akur dengan cadangan abah, kerana aku satu-satunya anak lelaki beliau, takan dia nak ajak kakakku yang dua orang tu pulak.

Tak lama kelihatan aku tertenggek membonceng ditempat duduk belakang basikal buruk abah, keriang...keriut..keriang...keriuuttt bunyi rantai basikal abah yang tidak berminyak itu mengikut gaya kayuhan abah.

Lebih kurang 10 minit berkayuh kami sudah menghampiri ke kawasan masjid. Alangkah terkejutnya aku, apabila aku lihat disekitar kawasan masjid pucuk-pucuk kelapa dan pohon-pohon di disekeliling masjid yang biasanya tinggi berdiri kini sujud menyembah bumi.

Aku teringatkan cerita seorang Ustaz yang memberi tazkirah mengenai Malam Lailatulqadar dan tanda-tandanya. Aku pasti pagi ni aku sangat bertuah kerana bertemu dengan Malam Seribu Bulan.

Aku pun mencuit pinggang abah. "Ohoooo pocot....jerit abah terperanjat dan geli dengan cuitan aku dipinggannya. Abah hilang kawalan dek cuitan geliku itu dan kami dua beranak teperosok kedalam parit disempadan pagar masjid.

" Apahal kau ni? Mencuit pinggang aku tak tentu pasal pulak?" bentak abah dengan nada marah kerana tubuh kami dibasahi air parit yang berlumpur.
" Bah...Lailatulqadar dah turun ..Bah....." jawabku sangat pasti.
"Lailatulqadar atuk kamu...Lailatulqadar apa bendanya?"
"Tu Abah tak nampak ke, pucuk kelapa, pucuk getah dan pucuk Bachang semua dah sujud ketanah..tu hah.", balasku sangat yakin.
"Lalaitulqadar kepala hotak kau..kan ke kawasan masjid ni nak diluaskan, pokok-pokok tu baru di tebang dua hari lepas, belum di kemaskan lagi".
"Dah berapa lama kau ni tak ke masjid ni? " tanya abah.

Aku terkedu dan haru tak membalas soalan cepumas abah. Pertama aku dah tak menemui Malam Lailatulqadar, kedua kami berdua beranak basah dalam lumpur dan ketiganya sejak beberapa hari nak menyambut raya ni aku main meriam buluh kat belakang rumah dah tak jengah masjid lagi, sebab raya dah dekat sangat ni.

Kejadian Malam Lailatulqadar itu sentiasa menjadi kenangan manis yang sangat lucu dan indah bagiku hingga sekarang. Bagi abah aku tak tahu, kerana aku tak pernah menceritakan kepada sesiapa pun.

Untuk Abah...Salam Aidilfitri dan aku mohon ampun dan maaf banyak-banyak, Abah.

......KAMI SEMUA SAYANG ABAH, APA LAGI SEJAK EMAK TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH TIGA TAHUN YANG LALU....DAN ALFATEHA BUAT ALLAHYARHAMAH EMAKKU MUDAH-MUDAHNAN ROHNYA DICUCURI RAHMAT JUA..........


KEMERIAHAN AIDILFITRI


KETUPAT IALAH SALAH SATU DARI BEBERAPA JUADAH
UTAMA PADA PAGI HARI RAYA AIDILFITRI


HARI RAYA AIDILFITRI

Dua atau Tiga Hari Lagi kita akan meraikan Hari Raya Aidilfitri - Mungkin Lusa, Tulat atau Langkat Aidilfitri akan kita semarakkannya bersama-sama. Tetapi bagaimanakah kita mengimarahkan Aidilfitri, tanpa kita mengetahui apakah Aidilfitri itu sendiri sebenarnya.

Hari Raya Aidilfitri ( Hari Raya Puasa ) merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia bagi menandakan berakhirnya bulan puasa Ramadan di mana umat Islam akan berpuasa dan beribadat dengan lebih tekun. Hari Raya Aidilfitri bermula apabila anak bulan kelihatan, menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke sepuluh dalam kalender Hijrah Islam. Anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik di Malaysia.

Perayaan Hari Raya Aidilfitri juga merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila sembahyang sunat Aidil Fitri dimulakan.

Perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula sebaik sahaja anak bulan disahkan kelihatan oleh pemegang Mohor Besar Diraja, dimana takbir akan bergema di masjid-masjid menandakan mulanya perayaan Hari Raya Puasa. Pada keesokkan harinya, pada awal sebelah pagi, sesetengah orang akan pergi membersihkan perkuburan orang yang disayangi dan berdoa agar roh mereka dirahmati Allah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri sebanyak 2 rakaat pula akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak lewat sedikit berbanding Hari Raya Korban. Kita disunatkan untuk makan sedikit sebelum menunaikan sembahyang sunat Aidil Fitri. Selain itu kita disunatkan juga untuk pergi dan balik daripada mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri melalui jalan yang berlainan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu, mereka yang muda akan memohon kemaafan daripada mereka yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi antara sesama mereka.

Pada hari raya, Aidil Fitri, kita disuruh agar membantu mereka yang dari golongan fakir miskin. Mereka yang malang ini jangan dilupakan dan hendaklan diraikan dan diberi bantuan sekadar yang mampu.

Pada zaman nabi, perayaan Hari raya Aidil Fitri hanya disambut selama 1 hari sahaja, berbanding dengan perayaan hari raya Aidil Adha yang disambut selama tiga hari.

Selepas meraikan hari raya Aidil fitri, orang Islam juga disunatkan untuk berpuasa enam hari atau 'puasa enam'. Puasa enam boleh dilakukan secara berturut-turut atau berselang-seli tetapi mesti dihabiskan di dalam bulan Syawal. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W.

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti puasa itu dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka pahalanya sama dengan nilai puasa satu tahun (penuh)."
(Riwayat Muslim.)

Teks adalah karya Pengarang : Saudara Mohd Yosri Mohd Yong

07 September 2009

SALAM AIDIL FITRI DAN MAAF ZAHIR DAN BATHIN



Mungkin begitu awal menitip salam lebaran kepada semua blogger di maya ini. Bukannya apa kata orang Johor. Ramadhan akan melabuhkan tiranya lebih kurang 13 hari lagi ( cepatnya Ramadhan bergerak meninggalkan kita semua ). Jika lewat menulis N3 kisah aidilfitri, bimbang di musim perayaan kita tidak menjenguk N3 rakan-rakan. Jika lewat takut N3 dah basi pulak. Kot-kot sibuk punya sibuk nak cari sampul ketupat dan rempah rendang satu apah pun tak ditulis mengenai HARI RAYA AIDILFITRI....

Sementara semangat raya tengah berkobar-kobar ni, eloklah saling mengucapkan salam di antara kita.


DIKESEMPATAN INI SAYA SEKELUARGA
MENGUCAPKAN
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
SERTA
MAAF ZAHIR BATHIN
KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN BLOGGER
DI MAYA INI
SEGALA KHILAF DAN SALAH SAYA
DI POHONKAN KEMAAFAN
ANDAIKATA TUTUR KATA DAN TULISAN SAYA
MENYINGGUNG PERASAAN DAN HATI
TUAN/PUAN SEMUA
SAYA MOHON MAAF BANYAK-BANYAK...


Kepada semua sahabat-sahabat blogger dipersilakan datang ke rumah saya jika ada kelapangan..


ASAP API KAYU BEREMBUN,
NYIUR YANG TUA DIBUAT MINYAK,
JIKA TERDAPAT DOSA BERKURUN,

MOHON DIAMPUN BERBANYAK-BANYAK.


Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Bathin dari Zedmagel & Keluarga

03 September 2009

SUATU KISAH SEDIH DAN LUCU DI BULAN RAMADHAN

SEDAPNYA PUTU MAYAM...
JIKA MENJADI JUADAH BERBUKA PUASA


SILA BACA KISAH INI,
IANYA AKAN JADI KENANGAN
YANG TIDAK MAMPU ANDA LUPAKAN
SEPANJANG HAYAT ANDA, MENTELAH LAGI
MENJELANG RAMADHAN DAN BOLEH DI CERITERAKAN
JUGA SELEPAS AIDILFITRI....


Suatu Kisah Di Bulan Ramadhan 2002
Yang Mengesankan -
Di Ceritakan oleh Sdra Fdaus Ahmad ( Universiti Tronoh )

Menelusuri beberapa blog rakan-rakan di maya dalam Ramadan ini, terbaca sebuah kisah yang boleh diketengahkan, cerita ini disunting mengikut kesesuaian tertentu.....

Lepas habis kelas Chemical Thermodynamic (ana ingat tajuk saja..jenis belajar semua meniru) kira kira dalam pukul lima setengah, Malek kawan kelas ana ajak pegi layan Pasar Ramadhan Batu Gajah. Ana memang style payah menolak pelawaan kawan kawan.Kalau janji berdating sekalipun,bila kawan dah ajak,hah..mintak maaf la wahai sang makwe,lain kali lah kita dating.
Persoalan ana pada Malek,"Apahalnya ente nak pegi sampai Batu Gajah?,Taman Maju pun ada pasar Ramadhan?,pergi Batu Gajah saja dah amek masa dua puluh minit untung bersih,baru untung bersih..belum campur kos lampu isyarat,kos lembu melintas dekat simpang Tronoh,kos minyak mentah,kos folo lori balak pada kelajuan 50km/j..kalau lump sum semua mau sampai empat puluh minit perjalanan sehala.Idea yang tak bebaloi langsung.

"Ana nak cari putu mayam untuk Shabir..dia telepon ana tadi pesan carikan putu mayam kalau jumpa kat pasar ramadhan,dia teringin..dekat Taman Maju konfem tak ada.Dia demam dah dua hari." - Malek jawab panjang panjang menceritakan hal Shabir kawan serumah beliau.

Ana panjat duduk seat sebelah tanpa melanjutkan soal jawab.Malek memang baik.Apa yang dia boleh tolong dia mesti tolong. Hari tu ana ajak dia ponteng kelas teman pegi Ipoh cari bundle dockers pun dia ikut.Tak banyak ragam. Kalau ana ada sepuluh orang kawan macam Malek rasanya memang bahagia le hidup kat dunia ni.

Perjalanan pegi Batu Gajah bersama Kancil eksotik Malek berlangsung sebagaimana yang ana pundit kan. Traffic Light yang tak pernah hijau bila nampak kereta Malek, lembu lembu yang melenggang bontot ditengah jalan, Lori lori balak yang selalu bikin hati membara bila nak potong tak lepas, ditambah dengan pemanduan berhemah encik Malek maka genaplah empat puluh minit sebelum tiba di tapak Pasar Ramadhan Batu Gajah.

Kami turun ke Pasar Ramadhan dengan niat murni mencari putu mayam untuk brader Shabir yang sedang demam. Pasar Ramadhan Batu Gajah boleh tahan juga dia punya panjang. Setelah dua tiga kali ber-sa'ie, barulah kami terjumpa mamak jual putu mayam atas motor di celah celah makcik Bihun Sup. (Ana rasa mamak tu jual tak baya resit MBBG menjual tanpa permit le ni...)

"Bagi tiga ringgit...kasi lebih gula sama kelapa" - Malek menunaikan tanggungjawab beliau dengan penuh kepuasan. Ana awal awal masuk event pasar ramadhan dah cekup nasik dagang sama air tebu. Malas pikir makanan bukan bukan.Malek pun sama menu dengan ana. Memang niat nak belikan putu mayam untuk Shabir, bukannya nak merewang saja saja.

Hampir setengah jam di pasar ramadhan Batu Gajah, ana dan Malek pun bergegas untuk pulang. Lembu lembu pun dah tak sabar menunggu kereta Malek lalu. Nak buat show tunjuk lenggang bontot masing-masing. Kalau lambat nanti marah pula. Radio hitz FM dalam kereta ana kilas pegi ke Radio Perak. Pukul enam setengah, dengarlah mengaji pulak. "Orang putih-orang putih juga Malek, mengajinya kita jadikan halwa telinga", kata ana padanya.

Sepanjang perjalanan pulang ke universiti Tronoh, halangan yang serupa ana dan malek tempuhi sebagaimana kami datang. Lembu lembu,lori balak dan traffic light yang ada skill boleh cam nombor plat kereta Malek. Asal nampak kereta Malek terus traffic light jadi merah. Perangai dengki yang bikin ana hilang sabar rasa nak penerajang. Cuma masa balik kami dapat bonus track sebab jalan nak keluar parking sesak macam dia tahu itu kereta Malek pakir.Ahh...h..ujian dibulan puasa.

Masa sampai di kolej, Azan maghrib sedang berkumandang. Alang alang, ana ikut bebuka dirumah Malek saja lah senang cerita.Kalau ana jalan kaki balik ke rumahana pun boleh, cuma makruh la sebab melambat lambatkan berbuka puasa. Takkan ana nak berbuka puasa minum air tebu sambil berjalan kaki naik turun tangga?, sebelah tangan minum air tebu, sebelah tangan lagi jinjing plastik nasi dagang. Hah gelagat gelojoh lagi tak matang. Bukan begitu sikap yang ibu ana terapkan.

Sampai dirumah Malek, budak- budak rumah beliau seperti Amir Hamjah, Idalara, Lenzs, Kuntong, Is Mahligairezki, Jeffry,Eiza, Jaja dan yang ada semua dah ready bersila atas surat khabar. Shabir pun ada duduk berselimut depan polistrin berisi nasi putih.
"Mana lauk ana?" - Shabir bertanya dengan semangat demam nak berbuka puasa.

******
Sesi berbuka puasa hari tu ana saspek telah menjadi legend dan sejarah pilu bilamana Shabir berbuka puasa dengan nasi putih berlaukkan PUTU MAYAM.

"TOMYAM ente tu, esok sumpah ana pegi cari, biar sampai ke Hattyai pun tak apa!!" - janji Malek pada Shabir.

Ana tak sampai hati nak kupas situasi konfuse dukalara antara Malek dan Shabir pada petang waktu berbuka hari tersebut. Putu Mayam dah jadi Putu Tomyam....Kah...kah...kah!!! Enta semua fikirkan lah...

*****

p/s: Kalau Shabir telepon pesan nasi dagang itu hari, mau si Malek ajak ana pegi carik nasi kangkang. Ana berfikir dalam hati dengan hujung ketawa yang masih berderai tetapi ditahan-tahan. Adakah pendengaran Malek begitu merosot di bulan Ramadhan ni...Malek....Malek...tapi mana nak cari seorang kawan yang sangat baik hati dan sedia berkorban sepertinya, cuma sesekali tidak teliti mendengar...!!

BERNAFAS DI BULAN RAMADHAN




Hari ini hari yang ke 13....
Kita bernafas dalam Bulan Ramadhan,


***

Penuh tarawih dan tadarrus pada malam-malam heningnya,
Bayu dingin dan kasih Ramadhan
Menusuk hati, kalbu dan sanubari seorang insan
sekerdil kita......

****

Akan berakhirnya Ramadhan
dalam masa 16 malam lagi,

Lalu kita akan ditinggalkannya
sehingga di tahun akan datang,


**

Jika umur masih panjang,
Dan jika kita belum berpulang,
Jika tidak ,
Ini adalah Ramadhan yang terakhir bagi kita

Untuk selama-lamanya.....