Senarai Blog Saya

Teman, Rakan dan Sahabat

Cari Blog Ini

30 Mac 2009

UMNO KEHILANGAN SEBUTIR MUTIARA YANG BERHARGA

Asalamuailaikum pembaca semua,





Tahniah kepada semua yang telah memenangi jawatan dalam pertandingan pemilihan MKT UMNO pusat yang baru kali ini. Begitulah kehendak dan ketentuan dari Allah SWT. Banyak hikmahNya. Kepada yang berjaya selamat menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh umat Melayu dan ahli-ahli UMNO keseluruhannya. Dalam menggalas tugas dan amanah yang telah diberi, harapan yang tinggi dari ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia semua harus ditunaikan.




Sebagai rakyat Johor, saya begitu terkilan dengan kekalahan beberapa calon MKT yang bertanding pada kali ini. Selain dari YAB Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Azalina Othman Said, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Syed Hamid Albar, Datuk Sharil Samad dan beberapa calon lain lagi ( sekadar menyebut beberapa nama calon ). Bukan saya memihak atas semangat kenegerian tetapi mereka semua memang terserlah dalam memikul tugas yang diberi.




Tahniah kepada Naib Presiden UMNO yang Baru Datuk Zahid Hamidi, Datuk Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Shafie Afdal, galaslah tugas ini dengan rasa tanggunjawab dan penuh ikhlas. Jadikan UMNO ini sebuah parti yang disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan. Tunjukkan kepada mereka UMNO ini masih relevan untuk semua lapisan rakyat Malaysia.




Secara peribadi saya sungguh-sungguh terkilan dengan kekalahan Datuk Sri Muhammad Khalid Nordin untuk menjawat jawatan Naib Presiden UMNO kali ini, kerana kesungguhan yang beliau tunjukkan dari sejak mula untuk bertanding sehingga ke saat-saat akhir sangat jelas dan terkesan. Beliau seorang pemimpin muda, berkaliber, tekun bekerja dan ingin memertabatkan agama dan bangsanya.




Datuk Sri Muhammad Khalid seorang yang budiman dan berkarsima. Tuturnya tidak meninggi, lembut tetapi tegas. Memiliki personaliti yang cool dan berani untuk ke depan, mencari pelapis pemimpin sepertinya agak sukar dalam UMNO pada hari ini. Meskipun beliau seorang yang bersih dari isu negatif tetapi dia mendapat tempat ke empat dari 8 orang calon. Dengan jumlah kekalahan sebanyak 46 undi, saya percaya perwakilan telah memberikan mandat yang besar kepadanya. Ada perwakilan dan ahli-ahli menyatakan Johor mencalonkan ramai calon Naib Presiden dan mustahil untuk mengisi dua tempat dari tiga yang ditawarkan. Apa saja yang dikata dan diungkapkan saya secara peribadi memandang Datuk Sri Muhammad Khalid Nordin adalah merupakan Sebutir Mutiara Dari Selatan yang sekarang ini perlu digilap sinarnya oleh UMNO sendiri. YAB Presiden UMNO perlu mengangkat mutira ini untuk menjadi bintang dalam barisan kepimpinan UMNO yang baru dibentuk. Saya percaya jika diberikan peluang beliau akan terus berkhidmat untuk agama Islam, bangsa Melayu dan parti UMNO.




UMNO akan terus bangkit dari beradunya, jika barisan MKT yang baru dan akan diperkuatkan lagi dengan individu seperti Datuk Sri Muhammad Khalid Nordin. Hala tuju bangsa kita masih jauh lagi untuk dicapai, demi generasi yang akan datang - YAB Presiden UMNO Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak haruslah memilih calon-calon yang tewas tipis pada kali ini untuk bersama-sama beliau mengemudi bahtera UMNO yang baru sahaja merungkai talinya dari tambatan dan telah dipilih orang ahli-ahli perwakilan yang mewakili umat Melayu.
Terima kasih kepada semua perwakilan yang telah melunaskan tanggungjawabnya. Tahniah kerana anda telah memilih barisan kepimpinan UMNO yang mantap dan berwibawa bagi membawa umat Melayu ke masa hadapan.
Bagi Datuk Sri Muhammad Khalid Nordin - ada cerdik pandai Melayu mengatakan "SESEORANG PEMIMPIN ITU TELAH MENANG APABILA DIA TELAH BERUSAHA BERSUNGGUH-SUNGGUH DAN DIA TELAHPUN BERJAYA SEKIRANYA DIA TELAH MENCAPAI APA YANG DIHAJATINYA" dan disini saya lihat Datuk telah melakukan kedua-duanya.
Salam hormat saya pada semua. Wassalam.

TAHNIAH KEPADA TIMBALAN PRESIDEN UMNO YANG BARU



Tahniah dan terima kasih yang tak terhingga kepada semua para perwakilan dan para penyokong YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah diberi kepercayaan untuk menjadi orang No 2 dalam menerajui UMNO. Segala teka teki dalam pemilihan telahpun diketahui. Keputusan ini menunjukkan ahli-ahli perwakilan telah memberikan mandat sepenuhnya kepada beliau untuk bersama-sama YAB Presiden parti untuk memikul tanggungjawab memberi imej yang serba baru dalam UMNO yang dilihat telah malap selepas PRU 12 yang lalu.


Tan Sri Muhyiddin dilihat mampu untuk menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada beliau. Sebelum pemilihan dibuat, saya sering bertanya beberapa soalan kepada perwakilan dan khalayak ramai, yang terdiri dari mereka warganegara biasa. Rata-rata memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin disebabkan kewibawaan yang beliau miliki begitu terserlah dipandangan umum. Warga Malaysia inginkan seorang pemimpin yang mampu membawa pelabur asing melabur ke dalam negara. Trak rekod beliau sebagai menteri kanan dalam kabinet Malaysia sangat cemerlang dan sangat boleh diharapkan. Beliau seorang yang serius dan tekun dalam melaksanakan tugas yang diberikan.


Saya slaute beliau dalam menangani gejala rasuah dalam UMNO. Dalam satu perjumpaan dengan penyokong-penyokongnya, beliau mengharamkan jentera, perayu undi dan pelobinya memberikan wang kepada perwakilan yang ditemui, selorohnya jika belanja minum tak mengapalah. Beliau lebih rela kalah dari menyogok wang untuk membeli undi perwakilan. "Tuan puan semua sebagai jurujual, produk jualan tuan puan ialah saya, cernalah saya sebagai barangan yang tuan puan jual", ini antara kata-kata beliau yang diungkapkan dalam perjumpaan tersebut.


Secara peribadi saya tidaklah begitu dekat dengan beliau, tetapi sebagai rakyat Johor, beliau pernah bertugas sebagai YAB Menteri Besar Johor, dan saya secara tidak langsung dibawah kepimpinannya, banyak perubahan yang telah dilakukan oleh beliau dalam membangunkan negeri. Begitu juga dengan YAB Dato Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor sekarang, saya benar-benar ralat kerana beliau tidak diberi peluang oleh para perwakilan untuk menjawat MKT UMNO penggal ini. Beliau juga seorang pemimpin yang berjiwa besar dan mempunyai wawasan yang jauh dalam membangunkan orang Melayu dan negeri Johor.


Segalanya adalah ketentuan Allah SWT jua, kita sebagai umat Islam dan Melayu hanya berdoa dan mengharapkan agar UMNO terus maju memacu kesejahteraan negara dan umat Islam di masa-masa akan datang. Salam mesra saya.


23 Mac 2009

LAMPU JALANAN - DI BAWA MASUK MENYERI TIANG SERI


SNAP, SNAP DAN SNAP

RUANG TAMU YANG KECIL, TETAPI NAMPAK LUAS
APABILA MENGHADAP TERUS KE TAMAN

BATU, KAYU DAN BUNGA MENJADI
LANSKAP BAGI PEMILIK,
KELIHATAN KLASIK DAN MENARIK

BEBERAPA SNAP



PINTU LAMA - TETAPI TELAH DIBERI NAFAS BARU
USIA 30 TAHUN.



LAGI SNAP !!!!!

SNAP SHOT 2

INI SATU SUDUT DI TIANG UTAMA TAMAN,
TEMPAYAN BESAR LAMA BERUSIA
LEBIH 60 TAHUN - TARIKAN UTAMA PENGUNJUNG



Beberapa gambar dan imej yang kurang jelas akan diambil lagi pada siang hari, sementara tu tengok lah mana yang ada dulu... Yek...Lia Syahira :)

BEBERAPA SNAP SHOT TAMAN DALAM RUMAH

SNAP DARI TEPI KOLAM, KE PINTU RUANG TAMU UTAMA
( Imej suram - penataan cahaya dikurangkan mengelakkan bias cahaya )


Mungkin dah malas atau penat menulis, disini aku perlihatkan beberapa snap shot TAMAN DALAM RUMAH - dan sedikit keterangan mengenai gambar.

Jurukamera : Lia Syahira


ISTANA BUNIAN 2


Seminggu lepas itu, aku, isteri dan anak-anak pulang bermalam di rumah abah. Aku memang selalu pulang menjengok abah, paling kurang seminggu dua atau tiga kali, pertama menziarah abah, kedua mengemas rumah dan menemani abah yang mungkin sunyi keseorangan.





Keesokan paginya, ( apabila mood aku rajin ) aku dan isteri mengemas taman luar yang tidaklah begitu luas ( sekarang ni aku sedang menyiapkan pagar buluh, tapi dah dekat dua bulan tak siap-siap ). Memindahkan beberapa tanaman ke dalam pasu. Aku bingung mencari tajak yang aku letakkan di kawasan tersebut, bertanya pada Zana mana perginya tajak aku? Isteriku kata tak tahu. Jenuh mencari memang aku tak nampak pun tajak tersebut. Mencari dimerata tempat yang berkemungkinan aku letakkan, sahlah tak ada.





Puas mencari tak jumpa, aku relax dan masuk ke dapur sebentar mengambil parang bagi menggantikan tajakku yang hilang sebagai peralatan. Meneruskan kerja-kerja di taman, sekonyong-konyong semerbak harum bau bunga durian menerjah masuk ke rongga hidungku. Ahh...hh.. wangi dan indahnya bau bunga durian. Bagi kami, budak-budak kampung haruman bunga durian akan lebih segar di waktu awal pagi ( sewaktu kami berbondong-bondong untuk pergi ke sekolah). Sebaik sahaja bau itu hilang, aku meneruskan kerja-kerja membersihkan taman, mataku tertumpu pada longgokan batang-batang buluh untuk membuat pagar di sebelahku. Nak tahu, tajakku yang hilang ada disitu. Sedangkan sebentar tadi telah beberapa kali aku mencarinya disitu. Aku mencapai tajak dan meneruskan kerja-kerja membersihkan taman. Aku menjerit pada isteri yang tajakku telah dijumpai.





Seperti sepasang mata sedang memerhatikan aku bekerja, berderau darahku terlihat seusuk tubuh berdiri dihadapanku, rupanya isteri anaksaudaraku dalam senyap melihatkan aku. Aku menjerkahnya - kau ni buat aku terperanjat aje...!!!!...Wah.... durian dah berbunga, enam bulan lagi menuailah kita. "Bunga durian pun masih berkudup, lama lagi le nak menuainya", balasnya. Hairanku semakin bertambah, sedangkan sebentar tadi haruman bunga durian menususk ke hidungku, hakikatnya kudup baru menguntum di dahan.





Berehat seketika, ngobrol tentang tajakku yang hilang, bersama isteri dan anaksaudaraku. Zana tak percaya dikatanya aku yang tak nampak tajak berada di situ, anaksaudaraku ( dia memang menetap di belakang rumah abahku ) katanya, aku saja mereka cerita. Bagiku terpulang sahaja. Mungkin mereka meminjam tajakku sekejap untuk membuat kerja di kawasannya. Aku melongo sendiri setelah semuanya pergi. Mentaripun dah tegak di atas kepala, waktu rehat dan solat zohor. Waah... kali ini bau ikan kering masin menerjah masuk ke lubang hidungku, perutku lapar - makan tengahari telah terhidang. Tiada lagi bau bunga durian, aku makan dengan lahapnya...bruuup...!



* Keterangan Gambar : DARI RUANG TAMAN, MENGHALA KE RUANG TAMU, TAMPAK
RUANG TAMU MELALUI CERMIN LUT SINAR.
Jurukamera : Lia Syahira ( Penataan cahaya yang berlebihan mendatangkan bias pada gambar )


TINGKAP PINTU KAYU BERSEGI,

SAMPAN SAKAT DI PULAU ANGSA,

INDAH TAMPAN KERANA BUDI,

TINGGI BANGSA KERANA BAHASA

ISTANA BUNIAN

SUDUT TAMAN, BANGKU KAYU
DI BAWAH POHON BAMBU ( BESI )
Jurukamera : Lia Syahira ( waktu malam beberapa objek kurang jelas )
Dua minggu lalu, kebetulan Kak Long dan aku serta keluarga bertandang ke rumah abah di kampung. Lalu kami adik beradik bercerita tentang masa indah kami di zaman kanak-kanak dulu. Ngobrol di ruang dapur bersama kopi O gobres dan cemil-cemilan yang disediakan oleh isteri hinggalah ke satu topik yang tidak semena-mena dengan istana bunian.


Bermula apabila Kak Long memperkatakan rumah abah lebih indah dan menarik jika dikunjungi pada waktu malam, dengan pancaran neon yang berserakan melimpahi setiap ruang dan lahan di setiap sudut rumah itu. Jika mampir diwaktu siang hari, rumah abah kelihatan suram dan kurang berseri. Waaah......! kalau macam tu dah macam cerita Istana Bunian pulak, aku menyampuk. Kidung kami berderai memecah keheningan petang itu.


Seusai solat maghrib malam itu, kami terus pulang ke rumah masing-masing. Sebelum pamit aku berbisik pada abah yang akan datang lagi Ahad nanti untuk menjenguk beliau. Kasihan abah sendirian melewati ujung usia ini.

Akar keladi lilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.

(Pantuan : ikhsan DBP Wilayah Selatan )

13 Mac 2009

CALON NAIB PRESIDEN UMNO MALAYSIA - 2008/2009



Pemilihan UMNO pusat begitu hampir dan sangat hampir, semua calon-calon yang bertanding pada masa ini sangat sibuk mengatur stratgei untuk menang jawatan yang ditandingi oleh mereka. Berusaha keras dan bersungguh-sungguh untuk menang sangatlah dipuji kepada semua calon-calon. Mana-mana calon yang kurang berusaha, hendaklah kena faham-faham sendiri.
Calon Naib Presiden yang satu ni, saya lihat konsisten dengan usaha yang beliau buat, dari sejak penamaan calon lagi hinggalah ke saat-saat akhir seperti ini, begegas ke utara, selatan, timur dan barat bagi menentukan kemenangan beliau. Itu satu signal yang jelas bahawa beliau serius dan benar-benar ingin menempatkan diri bagi mengisi jawatan berkenaan. Tahniah diatas usaha yang ditujukkan. Bukan nak kata calon-calon lain tidak serius dan berusaha, rata-rata sama sama bekerja keras tapi tidak begitu menyerlah kesungguhannya.
Kalau UMNO inginkan pemimpin muda, berkaliber, serius bekerja dan ingin memajukan parti dan kerajaan, tidak salah bagi perwakilan untuk memilih Datuk Seri Muhammad Khalid Nordin untuk mengisi satu dari tiga kerusi yang ada. Kerana kriteria yang beliau miliki memang memenuhi syarat tersebut. Namun calon yang bertanding ramai dan popular. Tapi buat apa perwakilan pening kepala, pilihlah yang terbaik di kalangan diantara yang paling baik.
Mengamati personaliti ini, dianya seorang yang sopan, budiman dan berkarsima. Cakapnya tidak tinggi dan bongkak, lembut dan agak tegas. Minggu ni di NTV9 rancangan Hujah beliau akan berada di pentas sebagai salah seorang ahli panel. Nak lihat juga Prof Agus bertanyakan soalan-soalan berapi kepada beliau dan kita boleh menilai sendiri.
Jumlah pemimpin UMNO yang cool seperti Datuk Muhammad Khalid Nordin sangat jarang saya lihat speciesnya. Mungkin ada seorang dua lagi, tetapi mereka tidak berani menawarkan diri untuk merebut jawatan berkenaan. Apa yang boleh saya ulas lagi mengenai beliau? Beliau individu yang bersih dari isu negatif (setahu saya ), berprinsip, dia ibarat Permata Selatan yang baru kita lihat kilaunya dalam UMNO Malaysia hari ini. Jika diberikan kepercayaan oleh para perwakilan yang akan memilih nanti, saya pasti UMNO tidak rugi dan kerajaan akan terus berada di singgahsana percaturan politik dunia di masa akan datang. Gandingan mantap YAB Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin, Datuk Muhammad Khalid Nordin dan dua lagi calon Naib Presiden yang menang (agak sukar meletakkan sesiapa) dan barisan MKT UMNO yang ada, rakyat percaya UMNO akan bangkit dari tidurnya sekali lagi seperti PRU 11 dengan majoriti yang besar. Maaf kepada semua perwakilan UMNO kali ini, saya tidak membariskan sekadar membayangkan ( ketentuan daripada ALLAH SWT jua).
Kepada semua calon-calon yang bertanding dan semua perwakilan, semoga berjaya dan selamat mengundi. Undi perwakilan semua adalah penentu halatuju negara di masa hadapan. Elakkan dari memilih calon yang rapat dan kawan baik kita. Memilihlah calon yang paling layak untuk mendaulatkan agama, bangsa dan menerajui negara.
Datuk Seri Muhammad Khalid Nordin, saya dan semua bloger yang meminati datuk mendoakan kejayaan buat datuk. Jika ditakdirkan datuk menang kami rasa sangat bersyukur. Buatlah satu perubahan baru dalam UMNO yang kian layu.

Seorang cerdik pandai Melayu ada mengatakan "Seseorang pemimpin itu telah menang apabila dia telah berusaha bersungguh-sungguh dan dia telahpun berjaya sekiranya dia telah mencapai apa yang dihajatinya" ( saya minta maaf kepada semua, jika ayat saya ini ada yang tertinggal atau terlebih). Ungkapan ini saya tujukan buat Datuk Muhammad Khalid Nordin. Salam kejayaan dari saya.

Wassalam.....!