Senarai Blog Saya

Teman, Rakan dan Sahabat

Cari Blog Ini

23 Februari 2010

CERITA RAKYAT DAN DONGENG TENTANG MELAYU

BABAK DARI SEBUAH PEMENTASAN DRAMA
PAK PANDIR


ILUSTRASI PELUKIS KEHIDUPAN SEMASA PAK PANDIR



Melihat dan meneliti telatah dan cara berfikir umat Melayu pada hari ini, mengingatkan saya tentang beberapa cerita Dongeng Melayu zaman dahulu kala. Cerita Rakyat tentang kehidupan Melayu dahulu yang serba gelap, suram, beku, pengap, bingung, tolol, bahlul dan penuh keliru.

Cerita Dongeng ini pernah saya dengar sendiri disampaikan oleh tuan yang empunya ceritra sebelum waktu tidur ( bed time story tales ) di zaman kanak-kanak saya. Saya tidak pasti samada cerita ini benar atau sekadar cerita hiburan rakyat. Berkemungkinan ianya merupakan salah satu propaganda sang penjajah di zaman itu untuk memudarkan semangat juang dan arus pemikiran kaum Melayu Islam pada masa itu. Biasanya saya telah dibuai ke alam mimpi yang penuh indah syahdu sebelum tamat cerita tersebut.

Dibawah ini salah satu petikan ceritra Dongeng Melayu yang saya kutip dari web untuk tatapan semua.

Sebuah Kisah Dongeng Melayu - PAK PANDIR :

"Setelah lepas makan, hari pun malamlah. Hatta, pada keesokan harinya, kata Mak Andeh kepada Pak Pandir, sekarang jerangkan air ke api. Setelah panas suam-suam kuku mandikanlah anakku ini. Aku hendak pergi mencari ubat budak ini.

Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Maka Mak Andeh pun pergilah mencari daun genggayang membuat pupuk kepala anaknya itu. Sepeninggalan Mak Andeh pergi itu, Pak Pandir pun melekat api menjerangkan air di dalam kawah. Ada seketika air itu pun panaslah serta menggelegak sedang gelora. Maka diambilnya anaknya itu, di masaukkannya kedalam kawah itu, lalu matilah menyeringai gusinya serta menggelupas kulitnya. Maka kata Pak Pandir, "Amboi sukanya anakku mandi air panas rupanya".

Kemudian lalu diangkatnya budak itu dari dalam kawah, di timang seraya berkata "hai suka sangat anakku mandi. Mandilah lagi". Serta di masukkannya pula kedalam kawah itu.

Maka seketika lagi Mak Andeh pun baliklah membawa daun gengganyang akan ubat anaknya, langsung naik kerumah mendapatkan anaknya. Maka dilihatnya tiada anaknya di tempat tidurnya itu. Maka Mak Andeh pun meneriakkan Pak Pandir seraya berkata, "kemana perginya anak kita di sini?" Maka sahut Pak Pandir, "ini bukankah dia, sedang ku mandikan. Cuba juga lihat, terlalu suka dia Andeh".

Maka Mak Andeh pun segeralah pergi kedapur melihat anaknya itu. Terpandanglah si anak itu telah terjeringing di dalam kawah yang sedang mendidih airnya dengan gelora sangat itu. Maka Mak Andeh pun mengucap, demikian katanya, "Astaghfirullah! Apa mulanya Pak Pandir demikian? Cheh, Pak Pandir sial bedebah tak mahu ditangkap harimau panjang tujuh, buaya panjang sembilan, supaya bangat matinya. Adakah patut air yang seperti ini panasnya itu dicelurkan kanak-kanak! Amboi, gunung payung, intan gemala, urat rambut batu kepala emak, matilah anakku! Sampainya hati bapamu membunuh akan dikau".

Maka berbagai-bagailah bunyi ratap tangis Mak Andeh, lalu dipalunya akan Pak Pandir serta ia mengambil anaknya. Demi didengar oleh Pak Pandir akan kata Mak Andeh anaknya sudah mati itu, barulah ia menangis serta menghempaskan kepalanya pada segenap bendul dan tiang rumah itu, sepertikan gila lakunya hingga mendatangkan ketakutan pula kepada Mak Andeh melihatkan kelakuan Pak Pandir itu, kalau-kalau ia mengamuk pula. Maka Mak Andeh pun berkata," janganlah Pak Pandir tersangat risaukan kematian anak kita ini. Baiklah awak pergi tanamkan budak ini, balutkan dengan belat ini dahulu, kemudian tanamkan".

Setelah Pak Pandir mendengar perkataan Mak Andeh itu, maka ia pun pergilah membalut anaknya itu dengan belat lalu dipikulnya, dibawa ketempat perkuburan.

Arakian, telah sampai separuh jalan anaknya itu pun terjatuhlah dari dalam gulungan belat itu, tiada di ketahui oleh Pak Pandir. Setelah sampai ke kubur, ia pun mengorek liang lalu ditanamkannya belat segulung itu tiada dengan periksanya lagi, lalu ditimbusnya. Kemudian ia pun berjalan pulang. Apabila ia sampai separuh jalan maka bertemulah ia dengan mayat anaknya yang tertinggal tadi. Maka apabila di lihat oleh Pak Pandir akan mayat itu, maka ia pun berfikir dihatinya, "Hai bukanlah aku seorang sahaja yang kematian anak ini, ada pula orang lain yang mati anaknya juga. Serupalah nasibnya dengan untungku ini".

Maka ditatapi pula oleh Pak Pandir rupa mayat itu, betul-betul serupa dengan anaknya daripada muka, hidung sifat tubuhnya sekali dan perempuan juga. Maka dengan sesaat itu hilanglah dukacitanya lalu segeralah berlari pulang. Serta sampai ke halaman tangganya ia pun berseru akan perempuannya, katanya, "Andeh, Andeh! Bukannya kita sahaja yang mati anak rupanya, orang lain pun ada juga yang mati anaknya, perempuan juga dan rupanya pun semacam betul-betul dengan anak kita".

Maka sahut Mak Andeh," agaknya kalau-kalau anak kita juga tercicir ditengah jalan dari dalam belat itu kalau awak tidak sedar".

Maka kata Pak Pandir, "tidak Andeh. Aku rasa berat yang aku tanamkan tadi." Maka sahut Mak Andeh baiklah, "moh kita lihat pula". Kata Pak Pandir, "mohlah, Andeh aku tunjukkan." Maka kedua-duanya pun pergilah bersama-sama berjalan. Tiada berapa antaranya sampailah kepada mayat anaknya itu. Maka kata Pak Pandir kepada Mak Andeh, "inilah dia anak orang yang mati itu. Bukankah serupa dengan anak kita, Andeh".

Telah dilihat oleh Mak Andeh, dikenalnyalah akan anaknya. Maka Mak Andeh pun marahlah dengan sumpah seranahnya akan Pak Pandir, lalu diambilnya seraya didukung mayat kanak-kanak itu serta di suruhnya Pak Pandir mengorek belat yang ditanamkan itu. Lalu di balutkan anaknya, ditanam semula. Setelah sudah keduanya pun pulanglah kerumah dengan dukacitanya hingga malam hari tiadalah tidur Pak Pandir laki isteri.

Inilah sebahagian petikan cerita tentang kehidupan sebilangan masyarakat Melayu Islam masa itu, saya rasa cerita itu tiadalah kebenarannya melainkan semata-mata sebagai hiburan dan untuk pengipurlara cuma.

Tetapi jika dilihat kepada sikap masyarakat Melayu Islam yang serba tak kena pada hari ini, terbit juga difikiran saya akan kebenaran cerita dongeng tersebut, jika di zaman kini yang serba maju masih terdapat masyarakat Melayu Islam yang serba keliru, mentelahlah lagi di zaman itu yang masih kolot dan tidak berilmu.

Moral dari cerita ini, untuk menyeru kepada Umat Islam Melayu supaya bersatu jangan terus berfikiran jumud dan terus keliru seperti zaman dulu-dulu. Salam hormat saya buat teman semua.


19 Februari 2010

SEBUAH PUSARA SUNYI - APALAH YANG ADA PADA DUNIA?

SEBUAH PUSARA SUNYI


YAB PERDANA MENTERI


YAB MENTERI BESAR



SEBUAH PUSARA SUNYI - APALAH YANG ADA PADA DUNIA ?

Inilah tajuk entry saya pada Hari Jumaat legi ini. Jika kita melihat disekeliling pada hari ini - ramai sahabat, ahli keluarga, teman, rakan dan mereka-mereka yang kita kenali sudah tiada. Teman yang dulunya sering makan dan minum bersama kita, hari ini telah tiada - telah berpindah ke alam lain (meninggal dunia).

Jika semalam mereka mungkin bergurau senda dengan kita, atau kita mengutuk dan bermesra dengan mereka, tapi hari ini mereka tiada lagi disamping kita. Mereka begitu jauh dari kita. Kerana hidup di dunia ini adalah sementara.

Ada juga terjadi, semasa hayat kita bersama. Kita sering bercakaran dan bertengkar bersama mereka, disebabkan tidak sependapat dan tidak sebulu dengan mereka. Lain halatuju politik dengan matlamat sendiri.

Hari ini jika kita amat-amati pemimpin Melayu sering bercanggah pendapat dan tidak sehaluan dalam menegakkan kepentingan politik masing-masing. Walaupun mereka sesama Islam dan sebangsa pula, caci maki, maki hamun, salah menyalahkan antara satu dengan yang lain, seperti dilihat tiada ruang untuk merapatkan mereka. Saya faham, kerana ini dunia politik yang penuh dengan permainan dan haru biru. Tapi bukankah kita semua bersaudara?

Andainya pada hari ini jika kita benar-benar berhasrat untuk membangunkan Islam dan nasib Orang Melayu, mentelah pula kita boleh berfikir untuk menjuruskan satu matlamat iaitu untuk kebaikan Islam dan Melayu itu sendiri, apa salahnya kita bersekutu buat seketika untuk melupakan sengketa lama. Nasib agama dan bangsa mestilah didahulukan. Jangan leka dengan keindahan dunia yang sementara ini. Ke mana halatuju Islam dan Melayu 20 tahun - 30 tahun akan datang?

Jika kita fikirkan tentang sebuah pusara yang sunyi dan apa sahajalah yang ada pada dunia ini, sudah tentu kita sesama Islam dan Melayu boleh bersatu. Jika ikut nafsu serakah diri sendiri sampai bila-bila pun kita akan bercakaran sesama kita.

Melainkan kalau hari ini kita ingin membawa Melayu / Islam kita berkambus dalam sebuah pusara sunyi dan di dunia Melayu ini tanpa segalanya lagi. Teruskanlah bercakaran dan berpecah. Kerana inilah sikap orang Melayu dengan dunia tolol dan bekunya. Berfikiran jumud, buntu dan sentiasa keliru.



11 Februari 2010

SUKAR UNTUK MEMILIH, SAMADA BLOG ATAU FACEBOOK (FB)

Satu gambar yang dipetik dari blog..bukan FB


IMEJ MENARIK INI MUNGKIN TIDAK DAPAT DILIHAT ATAU DISIAR DI FB ANDA..MELAINKAN BLOG



BLOGGER DAN `FB'


Kebelakangan ini saya melihat ramai rakan-rakan blogger saya berjinak-jinak ke dunia facebook (fb). Kebetulan laman blog dan fb berada dalam maya yang sama dan beriringan memungkinkan mereka mudah untuk menelurusinya samada di notebook atau pc masing-masing. Begitu juga dengan saya, tidak terkecuali. Hasilnya ramai diantara kami tidak dapat mengurus blog dan N3 yang baru disebabkan fb tidak memerlukan kita banyak masa untuk memerah otak bagi menghasilkan karya.

Ada juga rakan berpendapat fb lebih sesuai untuk remaja dan golongan muda, sementara blog untuk mereka yang dewasa dan berusia. Kedapatannya saya memutuskan samada fb atau blog adalah untuk semua golongan, kerana di fb sendiri ramai rakan-rakan yang dewasa, sementara di blog ramai juga remaja yang menyertainya. Lalu memutuskan dunia maya adalah untuk semua golongan menafaatkanya meneruskan kelangsungan bentuk komunikasi di zaman dunia tanpa sempadan ini.

Berbalik kepada tajuk - Sukar Untuk Memilih, Samada Blog atau FB, jelaslah ramai teman-teman blogger yang tidak dapat menyiapkan N3 baru mereka dek peti mel masing-masing dihujani dengan mesej yang masuk tidak putus-putus, dimana untuk membaca mesej, masuk ke laman fb teman dan membalasnya akan mengambil masa beberapa minit, itu hanya satu mesej bayangkan jika anda dihujani 30 mesej sehari. Tentulah akan menjejaskan untuk menulis N3, hasilnya N3 baru akan terbit hanya seminggu sekali atau mungkin lebih lama dari itu.

Sesetengah teman blogger apabila saya sarankan untuk mampir ke dunia fb mereka enggan untuk menelurusinya, bukan mereka menolak terus, namun saya kira mereka tidak mahu terperangkap dalam dunia fb. Begitupun ada juga teman blogger yang mempunyai fb tetapi tidak cenderung ke arah itu, hanya sekedar memiliknya sahaja.

Apapun blog dan fb adalah bentuk komunikasi dizaman ini untuk mengeratkan lagi hubungan kita sesama manusia di maya. Buat saya akan melayari kedua-duanya jika termampu sebaik mungkin yang boleh.

SALAM HORMAT SAYA...JUMPA LAGI....!!!

04 Februari 2010

DUNIA PUISI - PENABAHARI

SAUDARA PENABAHARI



Salam Buat semua rakan blogger,

Saya berkesempatan untuk singgah di blog - seorang teman, Penabahari di lamannya ARKED WAKTU, siapa yang tidak mengenali beliau?. Dia seorang pemuisi dari Bumi Kenyalang. Saya sering membaca puisi-puisi beliau di dada akhbar perdana suatu waktu dahulu dan sehingga ke hari ini. Tertarik dengan sebuah puisinya, lalu saya mengangkat puisi tersebut diblog saya dengan keizinannya, untuk ditatap oleh semua pembaca. Puisi ini begitu dekat dengan saya, kerana pengisahannya seperti kehidupan kanak-kanak saya suatu masa dahulu. Terima kasih saudaraku PENABAHARI.

Mungkin sedikit suntingan dari saya, bagi kesesuaian, saya dedikasikan khas untuk arwah ibu saya. Al Fateha.




KETIKA GETAH TERAMAT MURAH

(Al-marhumah Ibu saya Fatimah Ma'on
yang sentiasa dalam kenangan kami semua)



HUJAN pagi tadi mengingatkan aku
seorang penoreh getah
Emakku namanya
adik bongsu pamanku
menongkah masa papa
ketika getah teramat murah
detik negara di ambang merdeka

Pelita menyala terikat di dahi
ke kebun getah seawal dinihari
Emakku menoreh untuk sesuap nasi,

ketika mentari di atas jemala
Emakku kembali dari kebunnya
dua keping getah basah dikandar
untuk dijual di kedai runcit
milik Ah keat yang "baik hati"
harga jualan murah sekali

dengan hasil jualan getah
Emakku membeli keperluan rumah
gula, kopi dan juga beras,
di wajah nenda tenang terpancar
tentu kami tidak berlapar
ah! sukarnya biarpun abah di rantau
kuingin abah cepat kembali
dari kembaranya di hujung negeri

Pabila hujan membasahi bumi
resah mendakap kami
getah tidak boleh ditoreh
Emakku bertandang di rumah jiran
meminjam beras secupak cuma
untuk menghilangkan nyeri keluarga

Emakku berhenti menoreh getah
hasilnya gagal menghilang payah
akhirnya dia berubah kerja
menjadi penjual kuih biasa
kuih dijual di kedai tua
untuk membeli keperluan cuma

kembali dari berjaja
Emakku beroleh sedikit wang
dibawanya aku ke jalan besar
membeli senaskhah komik Melayu
cerita bersiri keris pusaka
di kedai buku Toko Mustafa
tugasku jadi pembaca
kerana Emakku rumi tunaaksara

Orang kampung sayangkan Emakku
kerana jasanya sebagai bidan kampung
mengubati jiran-jiran yang sakit puan,
tulang tuanya banyak berjasa
membaca matera tinggalan baka
coretan kapur sebagai penyudah
selebihnya diserahkan pada Allah
Tuhan seru sekalian alam

Setiap malam aku dan Emakku
bertandang ke rumah Lebai Mamat
solat berjamaah maghrib dan isyak,
selesai solat Emakku ajar mengaji
ilmu fiqah dan tasawuf juga
selesai mengaji kami pulang
pagi nanti Emakku berjaja lagi

Ketika usia empat belas tahun
aku belajar di sekolah menengah
Emakku masih berjaja lagi, aku pengganti
kerana gangguan kesihatan
siang malam tak henti asma
badannya kurus seperti turus
rupanya Emakku derita lagi

Dua tahun Emakku derita
pelbagai ubat telah dicuba
akhirnya Emakku tewas jua
di awal Ramadhan detik berduka
setelah puluhan tahun
menghela nafas merdeka

Dalam redup pagi yang sunyi
kami bersama mengusung jenazah
berakhir perjuangan si penoreh getah
terluka oleh harga
getah yang teramat murah
ketika masa mentafsir merdeka

18 Januari 2010

Penabahari,

ARKED WAKTU.


JAWAPAN PENUH PERKATAAN DAN ISTILAH TEMPATAN

APA KATA WANITA -
Adik Zamzarina yang manis ni
pernahkah menggunakan perkataan lama?



Assalamuailaikum semua. Apa khabar?

Saya doakan semuanya sihat dan sejahtera.

Setelah sekian lama membiarkan minda anda bercelaru dan harubiru dengan beberapa perkataan/istilah tempatan lama yang jarang-jarang kita gunakan lagi. Saya kira masyarakat kita tidak menggunakan perkataan-perkataan tersebut disebabkan ianya telah digantikan dengan perkataan baru yang lebih lembut, bersopan dan kedengarannya lebih elok dan menarik untuk digunakan.

Untuk tidak memusangkan lagi minda anda, hari ini saya berikan jawapannya, secara tepat dan betul mengikut kebiasaan yang digunakan oleh masyarakat kita pada ketika itu. Tetapi di entry sebelum ini ada banyak perkataan lain yang saya berikan, silalah mengikutinya.

1. Perun - Tempat membakar sampah / atau perbuatan membakar sampah itu sendiri disebut me 'merun'. Ayat - Pak Dalyell mengumpul sampah sarap untuk dibuang di perun dibelakang rumah.

2. Tajo - Alat memancing , joran / atau perbuatan menahan (memacak ) pancing disatu tempat itu disebut menajo.

3. Cega - Berjaga-jaga (perbuatan ). Ayat - Syah Putra mencega Mat Bangla yang lalu didepan rumah dari mengusik adiknya.

4. Honges - Memakan buah dengan menggunakan mulut tanpa mengupas kulitnya. Ayat - Pak Kuntong menghonges buah asam ditangannya kerana terlalu lapar.

5. Kokel - Perbuatan memakan buah seperti honges (tetapi lebih sesuai untuk binatang). Ayat - Sungguh leka Sang Tupai mengokel buah durian di kebun Amirhamzah.

6. Kaus -
Katil. Ayat - Sila rujuk petikan ayat Syah Putra dalam komen di N3 lalu.

7. Gebar / Gebo -
Selimut - sila rujuk petikan ayat Syah Putra di N3 lalu ( ayat paling kelakar).


Jika kita sama-sama amat-amati dan kenangkan semula tentu kita pernah mendengarnya dari perbualan orang-orang lama seperti nenek dan datuk kita. Perlukah kita gunakan perkataan-perkataan tersebut, biarpun telah ada perkatan baru yang lebih elok, mulus yang menggantikannya.

SALAM HORMAT DARI SAYA...JUMPA LAGI.

JAWAPAN DAN SOALAN BARU - BAGI ISTILAH PERKATAAN DULU-DULU

Inilah hidangan enak bagi pemenang Soalan Cepumas
Istilah Perkataan Tempatan...


Asalammualaikum semua teman-teman blogger maya di laman saya, yang sangat-sangat best dan sporting. Sejak saya menulis entry perkataan / istilah tempatan blog saya menerima banyak respon yang pelbagai dari teman-teman semua. Ramai yang cuba menjawab tetapi salah dan tidak tepat. Ada yang memberikan jawapan sebahagiannya betul dan yang lain salah. Ada juga yang cuba menjawab tetapi satu pun tidak tepat.

Apa-apa pun terima kasih kepada semua yang cuba menjawab samada betul ataupun salah, apa yang terbaik - kita sudah mencubanya. Akhirnya semua perkataan yang saya kemukakan telah dijawab dengan tepat dan betul oleh saudara AMIRHAMZAH - Segalanyamungkin.

Saya tidaklah hairan jika semua soalan saya dijawab dengan betul oleh beliau. Kerana dia rakan ngobrol saya. Jika bukan dia pemenang baru saya jadi orang yang paling hairan dalam dunia ni. Dibawah ini saya umumkan nama pemenang bagi dua N3 berkenaan :

Johan - AMIRHAMZAH - Segalanyamungkin
Naib Johan - Tuan DALYELL - JB

Ketiga - SYAH PUTRA - JB

Tempat Keempat - Idalara, kakcikseroja, Kuntong, Jeffry- Demensi, Ai@reel, Teja, Penabahari dan Lanabulu, Cekodokmasin.

Kepada Saudara Amirhamzah - Segalanyamungkin, terpaksalah saya belanja makan kueytiow udang kat Warong Rakyat Pesta, BP petang ni. Jika dia gagal menghadirkan diri, niat nak belanja tidak akan dibawa pada hari esok. Selamatlah saya.

Untuk semua - N3 kali ni saya menyediakan soalan lagi dengan perkataan baru yang saya kemukakan. Ini termasuk perkataan lama yang masih belum dijawab. Saya minta untuk semua tuan/puan /cik / adik / kakak mencubanya. Tapi soalan ini tidak dibuka kepada saudara Amirhamzah, bukanlah saya takut untuk membelanjanya kueatiow udang, tapi sebab dia dah jadi Johan kalau dia menang lagi takan dia nak jadi Johan memanjang pulak.

Perkataannya dan pembayangnya ialah :-

1. kedek (alat)
2. ngetet (perbuatan)
3. lasuh ( anggota badan )
4. mencekaunya ( perkataan yang menunjukkan )
5. leca ( alat )
6. hadap (perbuatan)

7. hampang (perbuatan)
8. boko (perbuatan )
9. mentakedarah (perbuatan )

10. mengcoho ( perbuatan )

11. hamput (perbuatan )


Inilah sebelas perkataan yang dulu-dulu pernah kita dengar tetapi sekarang telah berlalu dibawa arus perubahan ungkapan asakini kerana ianya telah digantikan dengan perkataan baru yang lebih manis, muluk dan indah-indah.

SILALAH CUBA MENJAWABNYA,
TERIMA KASIH.
WASSALLAM.....!!!!!


02 Februari 2010

ISTILAH TEMPATAN ( LOCAL WORDS)

ALAM JUGA - SECARA SEMULA JADI
BERINTERAKSI SESAMA SENDIRI...
PERNAHKAH ANDA MENDENGARNYA ?



SATU RUANG KOSONG - JUGA MUNGKIN ADALAH
MAHKLUK LAIN YANG SEDANG BERINTERAKSI
SESAMA SENDIRI....DAPATKAH ANDA MELIHATNYA..?


N3 kali ini saya sediakan beberapa lagi perkataan yang sering digunakan oleh masyarakat lama Melayu ( zaman kanak-kanak saya ) dalam daerah Batu Pahat. Tapi jika saya mengunakan perkataan ini ketika berbual dengan anak-anak saya pada hari ini, mereka akan bertanyakan balik perkataan berkenaan, contohnya :

1. ngedek / kedek
2. perun
3. ngetet
4. lasuh
5. tajo

6. cega

Jika sesiapa tahu, sila berikan maknanya perkataan atau ayat-ayat contoh. Dan saya angkat semula beberapa perkataan yang tak mampu dijawab oleh blogger dalam N3 yang lalu seperti :

1. mencekaunya
2. leca
3. kokel

4. honges


Saya pelawa semua blogger mencubanya, terutamanya :

Kuntong, kakcikseroja, zaijb, jeffry - demensi, aireel, Idalara, Noorlara, Syahputera, Adi, Wahyujatmika, Penabahari, Intan RH, Selempangmerah, Reen, Neezareef, Zaijb, Zai, Lanabulu, Teja, Sakurasa, Lenz, Dino, Eizainhouse, Dino, Mahligairezki, Dal, Jaja. D rimba dan semua sekali lah yang sudi singgah....


Amirhamzah ( Segalanya mungkin) tak payah menjawab, kerana saya pasti dia faham, sebab dia orang kampung saya....(jangan marah bro)..

SELAMAT CUBA MENJAWAB......!!!!!!
JUMPA LAGI.....!!!!