Salam Buat semua rakan blogger,
Saya berkesempatan untuk singgah di blog - seorang teman, Penabahari di lamannya ARKED WAKTU, siapa yang tidak mengenali beliau?. Dia seorang pemuisi dari Bumi Kenyalang. Saya sering membaca puisi-puisi beliau di dada akhbar perdana suatu waktu dahulu dan sehingga ke hari ini. Tertarik dengan sebuah puisinya, lalu saya mengangkat puisi tersebut diblog saya dengan keizinannya, untuk ditatap oleh semua pembaca. Puisi ini begitu dekat dengan saya, kerana pengisahannya seperti kehidupan kanak-kanak saya suatu masa dahulu. Terima kasih saudaraku PENABAHARI.
Mungkin sedikit suntingan dari saya, bagi kesesuaian, saya dedikasikan khas untuk arwah ibu saya. Al Fateha.
Mungkin sedikit suntingan dari saya, bagi kesesuaian, saya dedikasikan khas untuk arwah ibu saya. Al Fateha.
KETIKA GETAH TERAMAT MURAH
(Al-marhumah Ibu saya Fatimah Ma'on
yang sentiasa dalam kenangan kami semua)
HUJAN pagi tadi mengingatkan aku
seorang penoreh getah
Emakku namanya
adik bongsu pamanku
menongkah masa papa
ketika getah teramat murah
detik negara di ambang merdeka
Pelita menyala terikat di dahi
ke kebun getah seawal dinihari
Emakku menoreh untuk sesuap nasi,
ketika mentari di atas jemala
Emakku kembali dari kebunnya
dua keping getah basah dikandar
untuk dijual di kedai runcit
milik Ah keat yang "baik hati"
harga jualan murah sekali
dengan hasil jualan getah
Emakku membeli keperluan rumah
gula, kopi dan juga beras,
di wajah nenda tenang terpancar
tentu kami tidak berlapar
ah! sukarnya biarpun abah di rantau
kuingin abah cepat kembali
dari kembaranya di hujung negeri
Pabila hujan membasahi bumi
resah mendakap kami
getah tidak boleh ditoreh
Emakku bertandang di rumah jiran
meminjam beras secupak cuma
untuk menghilangkan nyeri keluarga
Emakku berhenti menoreh getah
hasilnya gagal menghilang payah
akhirnya dia berubah kerja
menjadi penjual kuih biasa
kuih dijual di kedai tua
untuk membeli keperluan cuma
kembali dari berjaja
Emakku beroleh sedikit wang
dibawanya aku ke jalan besar
membeli senaskhah komik Melayu
cerita bersiri keris pusaka
di kedai buku Toko Mustafa
tugasku jadi pembaca
kerana Emakku rumi tunaaksara
Orang kampung sayangkan Emakku
kerana jasanya sebagai bidan kampung
mengubati jiran-jiran yang sakit puan,
tulang tuanya banyak berjasa
membaca matera tinggalan baka
coretan kapur sebagai penyudah
selebihnya diserahkan pada Allah
Tuhan seru sekalian alam
Setiap malam aku dan Emakku
bertandang ke rumah Lebai Mamat
solat berjamaah maghrib dan isyak,
selesai solat Emakku ajar mengaji
ilmu fiqah dan tasawuf juga
selesai mengaji kami pulang
pagi nanti Emakku berjaja lagi
Ketika usia empat belas tahun
aku belajar di sekolah menengah
Emakku masih berjaja lagi, aku pengganti
kerana gangguan kesihatan
siang malam tak henti asma
badannya kurus seperti turus
rupanya Emakku derita lagi
Dua tahun Emakku derita
pelbagai ubat telah dicuba
akhirnya Emakku tewas jua
di awal Ramadhan detik berduka
setelah puluhan tahun
menghela nafas merdeka
Dalam redup pagi yang sunyi
kami bersama mengusung jenazah
berakhir perjuangan si penoreh getah
terluka oleh harga
getah yang teramat murah
ketika masa mentafsir merdeka
18 Januari 2010
Penabahari,
ARKED WAKTU.
salam bro Zed, sy surender la nak jbw tag..hehe
BalasPadamblur terus.. :D
Salam tuan
BalasPadamsakura juga adalah di antara peminat puisi2 sdr PENABAHARI sakura juga memiliki kumpulan puisi beliau bertajuk "BINGKAI WAKTU" diantara puisinya memikat hati sakura.....
bertajuk "DUKA PURNAMA". Semoga beliau akan terus menulis dan terus berjaya...
Salam Intan RH,
BalasPadamDah agak dah, meh bagi perkataan2 lama orang Temerloh saya nak jawab. Mana tau ada yang sama dengan perkataan dan istilah orang BP. Tapi terima kasih kerana mencuba tak menjawabnya.. He..he..
Salam Puan Sakura 2,
BalasPadamSaya rasa saya ke blog beliau juga kerana meninjau dari blog puan. Puisi beliau sememangnya mendekatkan diri saya kepada nostalgik silam dan dengan alam semesta ini. Tetapi Puisi Getah Murah ni, begitu menusuk jiwa saya.
Salam Tn Hj Zedmagel;
BalasPadamPelita diikat ke dahi
Itu menyuluh namanya
Menoreh getah seawa 4 pagi
Subuh dikebun
bersarapan ubi bakar
Sekiranya hijan tika menoreh
Getah tidak mengalir ke cawan
Malah meleleh ikut aliran hujan
Setitik pun tidak terkumpul
Baliklah siperoreh bawa getah skrap
Getah beku lebihan semalam
Tika getah tiada harga
Apatah lagi betah beku skrap?
Untuk beli lauk sekeluarga
Dijual telur tukarkan ikan asin
Asalkan semua dapat merasa.
Namun demikian melarat keluarga
Hati cekal mengharung hidup
Anak disekolahkan diilmukan
Agar tidak mewarisi jerih petih
Santapan harian penduduk kampong.
Namun
Hari ini
Anak sekarang
Tidak percaya
Ini gambaran hidup
Yang dilalui nenek oyang.
Kerana mereka tersuap dengan sudu emas?
Salam Sahabatku Tuan Tam Dalyell,
BalasPadamSangat indah puisi tuan, bahasa biasa yang indah begitu mudah untuk kita sama-sama terjemahkan. Biarpun tuan masih muda, tetapi dapat mengambarkan kehidupan dimasa itu.
Kebanyakan generasi muda kita tidak melihat dan merasai detik itu. Mereka bangun dengan kenderaan di depan mata, makan dengan sudu emas membuatkan mereka alpa siapa diri yang sebenarnya.
Terima kasih tuan.