Senarai Blog Saya

Teman, Rakan dan Sahabat

Cari Blog Ini

23 Februari 2010

CERITA RAKYAT DAN DONGENG TENTANG MELAYU

BABAK DARI SEBUAH PEMENTASAN DRAMA
PAK PANDIR


ILUSTRASI PELUKIS KEHIDUPAN SEMASA PAK PANDIR



Melihat dan meneliti telatah dan cara berfikir umat Melayu pada hari ini, mengingatkan saya tentang beberapa cerita Dongeng Melayu zaman dahulu kala. Cerita Rakyat tentang kehidupan Melayu dahulu yang serba gelap, suram, beku, pengap, bingung, tolol, bahlul dan penuh keliru.

Cerita Dongeng ini pernah saya dengar sendiri disampaikan oleh tuan yang empunya ceritra sebelum waktu tidur ( bed time story tales ) di zaman kanak-kanak saya. Saya tidak pasti samada cerita ini benar atau sekadar cerita hiburan rakyat. Berkemungkinan ianya merupakan salah satu propaganda sang penjajah di zaman itu untuk memudarkan semangat juang dan arus pemikiran kaum Melayu Islam pada masa itu. Biasanya saya telah dibuai ke alam mimpi yang penuh indah syahdu sebelum tamat cerita tersebut.

Dibawah ini salah satu petikan ceritra Dongeng Melayu yang saya kutip dari web untuk tatapan semua.

Sebuah Kisah Dongeng Melayu - PAK PANDIR :

"Setelah lepas makan, hari pun malamlah. Hatta, pada keesokan harinya, kata Mak Andeh kepada Pak Pandir, sekarang jerangkan air ke api. Setelah panas suam-suam kuku mandikanlah anakku ini. Aku hendak pergi mencari ubat budak ini.

Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Maka Mak Andeh pun pergilah mencari daun genggayang membuat pupuk kepala anaknya itu. Sepeninggalan Mak Andeh pergi itu, Pak Pandir pun melekat api menjerangkan air di dalam kawah. Ada seketika air itu pun panaslah serta menggelegak sedang gelora. Maka diambilnya anaknya itu, di masaukkannya kedalam kawah itu, lalu matilah menyeringai gusinya serta menggelupas kulitnya. Maka kata Pak Pandir, "Amboi sukanya anakku mandi air panas rupanya".

Kemudian lalu diangkatnya budak itu dari dalam kawah, di timang seraya berkata "hai suka sangat anakku mandi. Mandilah lagi". Serta di masukkannya pula kedalam kawah itu.

Maka seketika lagi Mak Andeh pun baliklah membawa daun gengganyang akan ubat anaknya, langsung naik kerumah mendapatkan anaknya. Maka dilihatnya tiada anaknya di tempat tidurnya itu. Maka Mak Andeh pun meneriakkan Pak Pandir seraya berkata, "kemana perginya anak kita di sini?" Maka sahut Pak Pandir, "ini bukankah dia, sedang ku mandikan. Cuba juga lihat, terlalu suka dia Andeh".

Maka Mak Andeh pun segeralah pergi kedapur melihat anaknya itu. Terpandanglah si anak itu telah terjeringing di dalam kawah yang sedang mendidih airnya dengan gelora sangat itu. Maka Mak Andeh pun mengucap, demikian katanya, "Astaghfirullah! Apa mulanya Pak Pandir demikian? Cheh, Pak Pandir sial bedebah tak mahu ditangkap harimau panjang tujuh, buaya panjang sembilan, supaya bangat matinya. Adakah patut air yang seperti ini panasnya itu dicelurkan kanak-kanak! Amboi, gunung payung, intan gemala, urat rambut batu kepala emak, matilah anakku! Sampainya hati bapamu membunuh akan dikau".

Maka berbagai-bagailah bunyi ratap tangis Mak Andeh, lalu dipalunya akan Pak Pandir serta ia mengambil anaknya. Demi didengar oleh Pak Pandir akan kata Mak Andeh anaknya sudah mati itu, barulah ia menangis serta menghempaskan kepalanya pada segenap bendul dan tiang rumah itu, sepertikan gila lakunya hingga mendatangkan ketakutan pula kepada Mak Andeh melihatkan kelakuan Pak Pandir itu, kalau-kalau ia mengamuk pula. Maka Mak Andeh pun berkata," janganlah Pak Pandir tersangat risaukan kematian anak kita ini. Baiklah awak pergi tanamkan budak ini, balutkan dengan belat ini dahulu, kemudian tanamkan".

Setelah Pak Pandir mendengar perkataan Mak Andeh itu, maka ia pun pergilah membalut anaknya itu dengan belat lalu dipikulnya, dibawa ketempat perkuburan.

Arakian, telah sampai separuh jalan anaknya itu pun terjatuhlah dari dalam gulungan belat itu, tiada di ketahui oleh Pak Pandir. Setelah sampai ke kubur, ia pun mengorek liang lalu ditanamkannya belat segulung itu tiada dengan periksanya lagi, lalu ditimbusnya. Kemudian ia pun berjalan pulang. Apabila ia sampai separuh jalan maka bertemulah ia dengan mayat anaknya yang tertinggal tadi. Maka apabila di lihat oleh Pak Pandir akan mayat itu, maka ia pun berfikir dihatinya, "Hai bukanlah aku seorang sahaja yang kematian anak ini, ada pula orang lain yang mati anaknya juga. Serupalah nasibnya dengan untungku ini".

Maka ditatapi pula oleh Pak Pandir rupa mayat itu, betul-betul serupa dengan anaknya daripada muka, hidung sifat tubuhnya sekali dan perempuan juga. Maka dengan sesaat itu hilanglah dukacitanya lalu segeralah berlari pulang. Serta sampai ke halaman tangganya ia pun berseru akan perempuannya, katanya, "Andeh, Andeh! Bukannya kita sahaja yang mati anak rupanya, orang lain pun ada juga yang mati anaknya, perempuan juga dan rupanya pun semacam betul-betul dengan anak kita".

Maka sahut Mak Andeh," agaknya kalau-kalau anak kita juga tercicir ditengah jalan dari dalam belat itu kalau awak tidak sedar".

Maka kata Pak Pandir, "tidak Andeh. Aku rasa berat yang aku tanamkan tadi." Maka sahut Mak Andeh baiklah, "moh kita lihat pula". Kata Pak Pandir, "mohlah, Andeh aku tunjukkan." Maka kedua-duanya pun pergilah bersama-sama berjalan. Tiada berapa antaranya sampailah kepada mayat anaknya itu. Maka kata Pak Pandir kepada Mak Andeh, "inilah dia anak orang yang mati itu. Bukankah serupa dengan anak kita, Andeh".

Telah dilihat oleh Mak Andeh, dikenalnyalah akan anaknya. Maka Mak Andeh pun marahlah dengan sumpah seranahnya akan Pak Pandir, lalu diambilnya seraya didukung mayat kanak-kanak itu serta di suruhnya Pak Pandir mengorek belat yang ditanamkan itu. Lalu di balutkan anaknya, ditanam semula. Setelah sudah keduanya pun pulanglah kerumah dengan dukacitanya hingga malam hari tiadalah tidur Pak Pandir laki isteri.

Inilah sebahagian petikan cerita tentang kehidupan sebilangan masyarakat Melayu Islam masa itu, saya rasa cerita itu tiadalah kebenarannya melainkan semata-mata sebagai hiburan dan untuk pengipurlara cuma.

Tetapi jika dilihat kepada sikap masyarakat Melayu Islam yang serba tak kena pada hari ini, terbit juga difikiran saya akan kebenaran cerita dongeng tersebut, jika di zaman kini yang serba maju masih terdapat masyarakat Melayu Islam yang serba keliru, mentelahlah lagi di zaman itu yang masih kolot dan tidak berilmu.

Moral dari cerita ini, untuk menyeru kepada Umat Islam Melayu supaya bersatu jangan terus berfikiran jumud dan terus keliru seperti zaman dulu-dulu. Salam hormat saya buat teman semua.


21 ulasan:

  1. Salam Edda,

    Terima kasih kerana menyukainya. Dah membacanya ke belum? Akan terbit satu lagi dongengan yang lain.

    He..he..

    BalasPadam
  2. Salam tn Hj Zed..
    masa kecil sy suka betul baca cerita pak pandir ni...wlupun nampak sgt dongengnya namun menghiburkan.

    BalasPadam
  3. Salam sdrku Hj Zed,
    terasa baru semalam Allahyarham ibu menceritakan tentang Pak Pandir pd saya, cerita sebelum tidur. Kalau kami di Sarawak, sebutan tenpatan untuk Pak Pandir dan mak Andeh ialah Pak Ande dan mak Ande, anaknya Ande..
    Walaupun ceritanya nampak membodohkan ia memeberi ruang kpd si pendengar supaya jgn bodoh seperti Pak Pandir. Begitulah agaknya yg dimahu penulis.
    Salam hormat.

    BalasPadam
  4. Salam Idalara,

    Saya pernah membacanya di semasa berada di sekolah rendah dulu, cerita dan penuh gambar yang menarik disajikan oleh penerbit buku tersebut. Masa tu saya anggap sebagai hiburan, tetapi sekarang saya melihatnya sebagai kutukan kepada orang Melayu.

    BalasPadam
  5. Salam Sahabatku Penabahari,

    Cerita yang sangat menghiburkan, tetapi menjurus ke arah kedaifan masyarakat Melayu kita ketika itu. Semoga menjadi panduan dan sempadan kepada kita semua.

    BalasPadam
  6. Salam Tuan Hj;

    Munkin kerana DNA, ada juga lulusan University masih Pak Pandir lagi.

    Bezanya hanya hidup sedikit mewah, ke tempat kerja berkereta dan anak-anak semua dah pakai kasut.

    Dari segi kepakpandiran mereka masih jadi habuan, jadi tunggul bertenggek-berak, masih memandang tinggi kepada sesama manusia ... apik kongkang pun dipanggil tokey.

    BalasPadam
  7. Salam Tuan Dal,

    Yang pandir kekallah dengan pandirnya, yang lulusan universiti tu ijazahnya saja, tapi fikiran mereka macam tadikati.

    Sedikit kemewahan dipungut dari ihsan kerajaan Melayu yang memerintah, malah dibalas balik dengan taiknya. Itulah Melayuku, yang selalu buntu menetukan hala tuju. Bangsa lain memperjuangkan kepetingan bangsa. Orang Melayu porak peranda dengan politiknya pula tak seberapa. Ajak bersatu, malah kepala kita di luku.

    BalasPadam
  8. Salam Zeqzeq,

    Trima kasih sudi singgah dan melemparkan kata-kata, walaupun sedikit tapiu sangat bermakna.

    BalasPadam
  9. Jangan risau Pak Pandir
    kebodohan bukan hanya milikmu
    ia sebenarnya sering berlaku.
    kebodohanmu itu menjadikan kami lebih pandai..

    BalasPadam
  10. Salam Sdra Bagus,

    Sama-sama kita berkongsi....

    BalasPadam
  11. Tuan Tanpa Nama,

    Bisakah kita menerima kepandiran yang sebegitu?

    BalasPadam
  12. maksih , krana blog tok jua kmeq dpat cari cerita rakyat yang disuruh oleh cikgu nak iya .

    BalasPadam
  13. ada juga keebenarannya cerita itu....zaman sekarg ini,ramai org yg keliru dan membuang anak merika....

    BalasPadam
  14. bagus cadangan kamu

    BalasPadam
  15. Walaupun cerita ini dongengan, tetapi ianya memberikan sesuatu untuk kita renungkan. Apakah kepandiran terus menerus membelenggui kita? Lulus setinggi mana pun, namun kepandiran tetapi berlaku. Nampak dan nyata!

    BalasPadam
  16. citenye agak embosankan jgk arrr,,,,adekala bosan,adekala x?????

    BalasPadam
  17. Salam :)
    Sebenarnya, cerita Pak Pandir ni memang banyak eh? Contohnya macam 'Pak Pandir membaiki rumah' dan banyak lagi lah.. Memang banyak eh?

    BalasPadam