Senarai Blog Saya

Teman, Rakan dan Sahabat

Cari Blog Ini

27 September 2012

Tangga Kayu


Untuk menuju ke veranda rumah, tetamu perlu menaiki sebuah tangga kayu yang sangat lama, dengan 13 anak tangga bagi menikmati udara segar diruangan tersebut. Ditutup bagi keselamatan dengan pintu kayu yang unik. Ruangan ini juga boleh dijadikan bilik untuk tempat tidur bagi lelaki bujang yang gemar menikmati udara segar, dingin yang menggigit tulang hitam pabila dinihari....
 
 

Tangga kayu menuju ke veranda di tingkat atas

RUANG DALAM.... RUMAH ATAS (TINGKAT 1)

  
Salam semua, agak lama blog saya ini terbiar tanpa dimuatkan dengan cerita terbaharu. Semasa aidilfitri yang lalu seorang sahabat ( Mohd Salmee ) sempat membuat satu snap dalam ruang dalam dirumah ini. Teknik photo shoot yang menarik ditag kepada saya untuk diabadikan di ruang ini. 
 
 
RUANG DALAM... RUMAH ATAS
 DISERIKAN DENGAN DUA TIANG UTAMA
Sebuah tempayan kecil, menuju ke ruang makan terdapat dua daun pintu lama yang
diolah dengan cermin berwarna jadi penghias kepada laluan kecil.


20 Julai 2012

SALAM RAMADHAN......

Salam Ramadhan semua,

Berakhirnya 29 Syabaan 1433H sore ini, bererti kita akan memulakan 1 Ramadhan hari esok, Sabtu 21 Julai, 2012.

Kepada semua saudara muslim saya ucapakan selamat menjalani ibadah puasa. Semoga Ramadhan yang akan kita harungi selama sebulan ini akan dapat memberi banyak manafaat buat kita semua, meningkatkan amal dan kebaikan, mengukuhkan iman dan segalanya. Memulakan Ramadhan dengan musim hujan dan dingin amat membahagiakan. Cuaca begini membuatkan fizikal kita lebih mantap dalam mengharungi Ramadhan yang penuh barkah.

Tentulah banyak kisah suka duka Ramadhan yang telah kita harungi dalam sepanjang kehidupan kita semua. Tiap dari kita mempunyai kenangan dan nostalgianya mengenai Ramadhan yang dilalui. Bagi saya Ramadhan 2007 adalah menjadi kenangan yang sering berada dihati, dengan kepulangan bonda tersayang kerahmatullah pada petang 2 Ramadhan.

Dikesempatan ini saya sentiasa mendoakan agar roh bonda sentiasa dicucuri rahmat Allah sentiasa, amin..... Al Fateha........

Salan hormat dan Salam Ramadhan dari saya kepada semua rakan-rakan...... jumpa lagi....

30 Mei 2012

UKIRAN KAYU LAMA

Beberapa tahun lalu, saya pernah mempamerkan ukiran kayu lama yang berusia lebih 100 tahun, peninggalan dari rumah aruah datuk isteri saya di blog ini. Ukiran tangan dari seorang pengukir Melayu dari negeri Melaka tersebut bermotifkan alam semula jadi bercorakan flora pesekitaran diwaktu itu.

Saya cuma menganggarkan harga bagi ukiran tersebut sekitar RM4000.00, bukanlah disebabkan sifat fizikalnya, tetapi disebabkan ianya mempunyai nilai-nilai kesenian halus hasil seni pengkarya pada zaman itu. Hasil seni pada zaman tersebut yang pada masa ini sangat sukar untuk kita temukan lagi. Saya kira jumlah ukiran kayu hasil karya pengukir kayu Melayu kita dari zaman tersebut sudah tiada lagi dalam simpanan mana-mana peminat dan pengumpul pada masa sekarang. Sekiranya ada jumlahnya juga tidaklah melebihi 20 keping.

Tidak dinafikan pada masa sekarang mungkin terdapat berpuluh ribu ukiran kraf kayu yang terdapat dinegara ini. Bentuknya lebih cantik dan sangat menarik. Tetapi kebanyakan ukiran tersebut dibuat dengan bantuan mesin dan dengan sentuhan seorang pengukir kayu yang handal dan mahir.

UKIRAN KRAFT KAYU LAMA (1.2' X 5' )
  

01 Mac 2012

MEJA MAKAN BERKACA

MEJA KACA LEBIH TAMPAK ELEGAN, MENARIK DAN BERGAYA


Jemu dengan kayu? Sesekali suasana dan ruang makan akan kelihatan berlainan apabila kita menukarkan meja makan dengan meja yang baru. Misalnya kebanyakan meja makan akan diserikan dengan kerusi dan meja kayu, sesekali apa salahnya kita menukar selera dengan menukarkan meja makan kita dengan meja kaca.

           Meja kaca juga mudah untuk dibersihkan dan senang untuk dijaga. Cuma kita perlu mengelakkannya dari kesan calar jika kita kurang berhati-hati semasa mengendalikannya. Seperti permukaan meja kayu, meja kaca juga perlu dijaga sebaik mungkin. Ancaman meja kaca ialah dengan besi yang terlalu berat atau batu yang mampu merosakkannya.

            Biasanya meja kaca mampu bertahan dari kepanasan suhu makanan yang dihidangkan begitu juga dengan minuman berais, ianya mudah dibersihkan tanpa meninggalkan kesan. Mudah-mudahan dengan meja kaca juga mungkin mampu meningkatkan selera makan yang terhidang walaupun lauknya masih tetap sama.

            Moga tip Taman Dalam Rumah kali ini dapat membantu menyelesaikan masalah ruang makan yang terpengap lama dan payah sangat untuk kita ubah.  

            Salam hormat saya.... jumpa lagi...... 

RUMAH KECIL TIANG SERIBU.....




                                         KERJA UBAHSUAI PEMASANGAN BATU KAS
                                       (KASTONE) YANG BARU SAHAJA DIMULAKAN

Kita sering merasa jemu dan  bosan dengan keadaan rumah, taman atau desain dalam rumah yang didiami. Sesekali keadaan yang sebegini perlu menerima perubahan samada besar atau kecil. Cuma masalahnya ialah bajet yang sangat terhad. Kerja-kerja pengubahsuaian rumah, taman atau interior biasanya akan memerlukan bajet yang cukup tinggi.

                                           KERJA-KERJA PEMASANGAN TILE AKAN
                                         DILAKUKAN TERLEBIH DAHULU SEBELUM
                                             PEMASANGAN BATU KAS (KASTONE) 

            Sebenarnya kita boleh sahaja mengurangkan bajet bagi kerja-kerja ubahsuai rumah, dengan syarat kita melakukannya secara berperingkat. Misalnya kita ingin membuat ubahsuai taman, diperingkat awal kita mulakan dengan melakukan kerja-kerja asas sebuah taman, misalnya dengan meletakan beberapa pokok-pokok hiasan, membena kolam ikan, pagola dan sebagainya. Kerja-kerja ini kita lakukan secara berperingkat mengikut bajet yang sesuai dan termampu.

             Baru-baru ini saya agak bosan melihat keadaan pemandangan taman mini dihadapan ruang tamu rumah. Untuk mengubahsuai secara keseluruhan bajetnya tentulah agak tinggi. Lalu saya membuat perubahan kecil dengan menggantikan ruang santai dengan tile baru serta menata bahagian dindinnya dengan batu kas (kastone). Dengan ubahsuai yang kecil dan bajet yang sedikit ini mungkin saja mampu untuk merubah suasana dan menampilkan pemandangan yang lebih menarik lagi.


KERJA-KERJA PEMASANGAN TILE DAN
BATU KAS YANG SEMPURNA
MEMERLUKAN TUKANG YANG MAHIR
UNTUK MELAKUKANNYA

             Kerja-kerja ubahsuai tersebut baru sahaja bermula dan dijangka siap dalam masa 7-10 hari. Mudah-mudahan ianya akan sempurna seperti yang diimpikan... Bercerita hal rumah saya teringat satu pantun lama yang berbunyi :

                   "RUMAH KECIL TIANG SERIBU, RUMAH BESAR TIANG SEBATANG,
                    SEMASA KECIL DITIMBANG IBU, SUDAH BESAR DITIMANG GELOMBANG"

Begitulah hubungan sebuah rumah dengan sebuah kehidupan, didalam meniti kehidupan yang sangat singkat ini, banyak cabarannya. Apalah sangat untuk dibandingan dengan cabaran membena sebuah rumah yang selesa selagi kita masih bernyawa untuk kita huni bersama keluarga.

Salam hormat saya, jumpa lagi........ Assalamualaikum.....

                        

                      

             

29 Februari 2012

HANYA SATU CORETAN

Lama sungguh aku tidak mencoretkan sesuatu disini, mungkin juga disebabkan dengan kekangan tugas atau dalam keadaan yang sangat sibuk diwaktu ini...Menelusuri tulisan-tulisan yang lama, banyak komen dari sahabat dan rakan-rakan blogger yang terabai tidak dijawab. Selaku pengendali blog ini aku mohon berbanyak-banyak maaf kerana terlalu lewat untuk menjawabnya.

Agak terkejut ruangan "Ke Alam Bunian" yang telah aku tuliskan ditahun 2010 mendapat komen dan pandangan dari teman-teman blogger yang membacanya. Aku ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi singgah dilaman tersebut dan berkongsi cerita dan pengalaman masing-masing. Maaf sekali lagi jika lewat memberikan respond pada tulisan anda semua.

Salam hormat saya... jumpa lagi dilain entry...

08 November 2011

SALAM AIDIL ADHA.....

Malam Aidil Adha masih sangat terasa lagi dihati, bersama-sama merebus ketupat dan merendang ayam dengan isteri, anak-anak dan kaum keluarga semua.Hilai tawa keluarga dalam kemeriahan menyambut Aidil Adha akan sentiasa meruntun nurani kami untuk turut serta berkumpul bersama keluarga pada malam Aidil Adha.



DI HALAMAN PAGI AIDIL ADHA YANG SANGAT
                                                               MENDAMAIKAN....

Hari ini hari terakhir Hari Raya Aidil Adha.... seperti sangat pantas masa berlalu, masih terkenang lagi saat memileh lembu untuk di buat korban bagi tahun ini, masih sangat dekat lagi dalam ingatan sewaktu menunaikan solat sunat Aidil Adha bersama abah dan anak-anak teruna saya, seusai solat sunat Aidil Adha kami terus ke pusara bonda.

Sebagaimana kebiasaan Hari Raya Korban, kami bersama kerabat se kampung bergotong royong menumbangkan lembu korban menyiapkannya sehingga sempurna dan diagih-agihkan ke pelusuk kampung agar seluruh warga kampung dapat menikmatinya.Tahun ini 7 ekor lembu yang dikorban, berbanding tahun lalu 8 ekor kesemuanya. Selepas solat Zohor kami semua sama-sama menikmati juadah makan tengahari beramai-ramai di surau. Begitulah meriah, seronok dan indahnya Aidil Adha bagi kami orang kampung. Warga kampung bagaikan satu keluarga besar dalam suasana yang sangat harmoni yang membuka tirai fahaman politik masing-masing.


SENYUM PAGI AIDIL ADHA ... IBU DAN ANAK TERUNA

Kenangan yang indah dan sangat manis inilah yang sentiasa mengamit hati-hati kami untuk sentiasa berada di kampung pada 10 Zulhijjah setiap tahun. 


       GEMERLAP NEON MALAM AIDIL ADHA       

Semalam semua yang bertandang di rumah abah beransur-ansur kembali ke kediaman masing-masing untuk meneruskan kehidupan mereka.Namun kami semua berharap agar bersama lagi di Aidil Adha yang akan datang. Aidil Adha akan sentiasa dalam kenangan yang terindah......

23 Ogos 2011

SALAM AIDILFITRI & MAAF ZAHIR BATHIN

 
 
 
Jika dikira mulai hari ini, mungkin seminggu lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kelihatan begitu awal menitip salam lebaran kepada semua blogger di maya ini.

Bukannya apa kata orang Johor. Ramadhan akan melabuhkan tirainya beberapa hari lagi ( cepatnya Ramadhan berlalu  meninggalkan kita semua ). Jika lewat menulis N3 kisah aidilfitri, bimbang di musim perayaan kita tidak menjenguk N3 rakan-rakan. Jika lewat takut N3 dah basi pulak. Kot-kot sibuk punya sibuk nak cari sarung ketupat dan rempah rendang nanti satu apa pun tak ditulis mengenai HARI RAYA AIDILFITRI....


Sementara semangat raya tengah berkobar-kobar ni, eloklah saling mengucapkan salam di antara kita.


DIRUANG KESEMPATAN INI
SAYA SEKELUARGA MENGUCAPKAN
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
SERTA
MAAF ZAHIR BATHIN
KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN BLOGGER
DI MAYA INI
SEGALA KHILAF DAN SALAH SAYA
DI POHONKAN KEMAAFAN
ANDAIKATA TUTUR DAN TULISAN SAYA
MENYINGGUNG PERASAAN DAN HATI
TUAN/PUAN SEMUA
SAYA MOHON RIBUAN KEMAAFAAN
YANG TIDAK TAK TERHINGGA...

Kepada semua sahabat-sahabat blogger dipersilakan datang ke rumah saya jika ada kelapangan..

DARI KOTA PULANG KE DESA,
SANAK KELUARGA HIMPUN BERSAMA,
KU POHON AMPUAN SEGALA DOSA,
HARAP TUAN SUDI TERIMA.

Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Bathin dari Zedmagel & Keluarga

26 Julai 2011

SALAM RAMADHAN DAN SELAMAT BERIBADAH BUAT SEMUA


Salam Ramadhan Buat Semua,

Sedar tak sedar, Ramadhan datang lagi. InsyaAllah empat atau lima hari lagi  kita akan menyambutnya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini akan lebih membawa berkat dalam kehidupan, diharapkan lebih baik dari Ramadhan yang lalu.

Sememangnya Ramadhan selalu mendekatkan diri dengan kehidupan yang lebih kudus. Dejavu Fajar Ramadhan membelengu nafsu, hati dan perasaan yang selalu tewas dengan pelbagai dugaan dalam bulan selain Ramadhan.

Apakah yang kita harapkan dalam Ramadhan kali ini? Selain dari rahmat dan keampunan dariNya jua. Banyak cerita suka dan duka yang bertandang dalam Ramadhan. Kepulangan bonda yang tercinta juga pada 2 Ramadhan, 1429, terasa begitu cepat kasih bonda terlepas dari dakapan diri. Moga rohnya dicucuri rahmatNya jua menjelang Ramadhan kali ini.

Buat sahabat dan rakan semua, Salam Ramadhan diutuskan di maya yang tidak bertepi ini. Hayatilah Ramadhan dengan penuh taqwa dan keimanan. Jumpa lagi, di Ramadhan yang akan datang di doakan.

21 Jun 2011

KERANA WAKTU ITU HANYA 24 JAM SAHAJA....

Sememangnya sudah lama benar, saya tidak mencoretkan catatan baru di blog saya ini.

Kerana ketandusan idea, atau memang sudah malas untuk berkarya? Dek kekangan tugas seharian atau sangat sibuk untuk menguruskan kelangsungan hidup dan cabaranya yang berbagai. Lalu ruang blog terabai dan tidak terusik. Kebelakangan ini saya gagal untuk menguruskan masa yang saya kira sangat sedikit. Kiranya boleh kita semua memanjangkan hari-hari yang dilalui, Bukankah itu sangat molek sekali. Namun begitulah ketetapan waktu yang kita miliki hanya 24 jam. 12 jam siang, dan 12 jam lagi malam. 

Mengejar siang yang pantas berlalu, dan menelurusi malam yang cepat pergi. Rasanya saya tak mampu untuk menghambat itu semua. Lalu membiarkan semuanya mengikut edarannya sendiri....

Kekadang termenung sendiri, dan memikirkan..... apakah diri ini sudah sangat begitu sukar untuk ini semua....
Petikan pesanan untuk sahabat dari blog... Dairi Diriku - Fiq :
WAHAI SAHABAT...

Andai kau ingin berteman, janganlah kerana KELEBIHANNYA, kerana mungkin dengan 1 KELEMAHAN, kau akan MENJAUHINYA...

Andai kau ingin berteman, janganlah kerana KEBAIKANNYA, kerana dengan 1 KEBURUKAN, kau akan MEMBENCINYA...

Aandai kau ingin berteman, janganlah kerana ILMUNYA, kerana apabila dia BUNTU, kau akan MEMFITNAHNYA....

Andai kau ingin berteman, janganlah kerana sifat CERIANYA, kerana andai dia MURAM, mungkin kau akan MENJAUHINYA...

Andai kau ingin berteman, TERIMALAH dia seadanya kerana dia juga MANUSIA BIASA SEPERTIMU...



15 Mac 2011

TIP UNTUK LELAKI YANG TAK HANDSOME

Tip ini saya ambil setelah menelurusi beberapa blog dari tulisan rakan-rakan, saya kira ianya sangat menarik,  lalu saya angkatnya ke blog saya untuk dijadikan panduan bersama. Selamat membacanya - UNTUK LELAKI SAHAJA, TETAPI LADIES JUGA BOLEH MEMBERIKAN KOMEN....


Tips bagi yang merasa sebagai lelaki tak hensem (maaf ini hanya bergurau, jangan disimpan dalam hati ya bro!)
1. Jangan putus asa, tidak semua orang menilai manusia dari fizikalnya, boleh juga dinilai dari rumahnya, keretanya, pangkatnya, atau wang simpanannya ^^
DONT JUDGE THE BOOK BY THE COVER

2. Jangan salahkan diri anda kalau anda tak hensem, salahkanlah orang tua, kerana hensem itu keturunan.. betul tak??
LIKE FATHER LIKE SON

3. Perbaiki kecantikan dalaman anda, itu kalau anda merasa sisi luar anda memang hampeh.
THE BEAUTY IS UNDER THE SKIN

4. Jgn sakit hati kalau dikatakan tak hensem, buat bodoh jer, ingat film Beauty and The Beast kan?
NO GAIN WITHOUT PAIN

5. Jadilah diri anda sendiri, kalau anda tak hensem, bersyukurlah. Mungkin kalau anda hensem
anda akan lebih banyak dosa, dan tidak berada disituasi yang membahagiakan seperti sebegini sekarang..
JUST BE YOURSELF

6. Kalau orang lain menilai anda tak hensem, jangan ambil hati, penilaian manusia tidak selalu
benar (mungkin anda sebenarnya lebih tak hensem lagi huhu)
THE TRUTH IS OUT THERE.

RAMAI DIANTARA KITA YANG MEMPERELOKKAN WAJAH..
BUKAN AKHLAK DAN KELAKUAN..

7. Ramai lelaki tidak kacak, digilai oleh gadis-gadis jelita. Contoh yang paling dekat ialah BEAUTY AND THE BEAST. Yang paling tepat ialah diri ANDA sendiri. Tak gitu?..  

He..he...kerana saya juga dalam kategori antara lelaki yang tak berapa hensem..

21 Februari 2011

CICAK TOKEK, TEKEK ATAU GECKO

SATU AKSI CICAK TOKEK, TEKEK ATAU GECKO
YANG SANGAT COMEL DAN MENARIK

AL-KISAH........... akhir-akhir ini tersebarlah cerita berkaitan Sang Cicak Tokek / Tekek @ Gecko yang mengemparkan penduduk dan rakyat di negara kita ini. Dikatakan oleh orang yang empunya cerita harga bagi seekor Sang Tokek mencecah hingga jutaan ringgit (RM) bergantung kepada saiz, berat dan rupanya.

           Oleh yang demikian, maka ramailah pemburu dan pencari makhluk ini yang mencarinya dimerata tempat diseluruh pelusuk tanahair. Ramai pembeli yang menawarkan harga mengikut kadar saiz Sang Tokek ini terutamanya di internet atau dalam laman blog Sang Tokek. Ianya lebih mahal dari harga emas jika kita bandingkan dengan seekor Tokek pada berat yang sama.  Salah satu organ dibadan Si Tokek dikatakan boleh menyembuhkan penyakit HIV.

             Pada hari Ahad yang lepas, saya ke Seri Medan bagi melihat seekor Tokek yang di bela  oleh seorang  rakan, khabarnya ia memperolehi si Tokek itu dari Layang-layang. Malangnya saya tidak dapat melihat kerana diberitakan Si Tokek telah terlepas dari kurungan dua hari yang lalu.  Tidaklah menjadi kenyataan untuk saya melihat makhluk itu.

CICAK TOKEK 
 Tidak begitu mudah untuk menangkapnya
 
             Habitat Sang Tokek biasanya dipohon-pohon kayu berhampiran rumah, rumah-rumah papan atau di bangsal lama. Ianya memerlukan satu suasana sejuk dan gelap. Tokek diceritakan hidup menyendiri dan ianya hanya perlukan teman hanya dimusim mengawannya. Tokek betina biasanya bertelur 2 kali setahun dengan jumlah telur dua biji sekali betelur. 

             Seingat saya, beberapa kali saya pernah melihat Sang Tokek, itu pun lama dulu, waktu saya tinggal di rumah tua  peninggalan arwah nenek saya di kampung  (rumah tersebut telah dirobohkan) sebaik kami berpindah ke rumah baharu. Apabila membuka daun pintu, Sang Tokek belari kerana terperanjat ataupun ketakutan kepada ancaman pemangsa, ianya berwarna hitam/kelabu dan mempunyai tompok-tompok jingga kadar kelajuan Tokek hampir 60 - 70km sejam. Tokek biasanya akan mengeluarkan bunyi "Kek....kek.. " dan menghempaskan ekornya beberapa kali sewaktu memakan mangsanya. Tak tahulah saya kemana Tokek tersebut lari apabila rumah itu dirobohkan.

             Difahamkan juga pembeli akan membuat urusan pada hari bekerja, mereka datang secara berkumpulan, mereka ini terdiri dari golongan profesional termasuk pembeli yang tentunya memiliki banyak wang. 

             Jadi kepada pengemar yang sering memelihara haiwan exotic peliharalah haiwan anda dengan sebaik mungkin, tak kiralah anda memelihara sumpah sumpit, mengkarung, kala jengking, lipan atau apa sahaja, mungkin haiwan peliharaan anda akan ditawarkan harga yang mampu mencecah jutaan ringgit juga satu hari nanti. 

             Tetapi semenjak tersebarnya berita Cicak Tokek, sukar bagi saya untuk menemui seekor pun cicak rumah kebelakangan ini, saya bimbang cicak rumah juga akan laku juga satu hari nanti walaupun harganya tidak semahal Cicak Tokek.     

Salam hormat saya... jumpa lagi.....

           

19 Januari 2011

SEMAKIN TUA DAN BERUSIA, KEHIDUPAN INI TERLALU SUKAR UNTUK DIUNGKAPKAN

Lama.... memang sudah lama blog ini tidak dicoret dengan apa-apa cerita. Bukan juga disebabkan  oleh apa-apa, mungkin sedikit bentuk kekangan kerja. Sebenarnya menjalani sebuah kehidupan sebagai orang biasa-biasa seperti saya semakin hari semakin sukar untuk diungkapkan. Bukan dengan sekadar kata-kata, apalagi untuk mengharunginya.

Sebuah kehidupan lebih indah dizaman bayi, kanak-kanak dan remaja. Mungkin tiada beban diminda, mahu pun tanggunjawab. Saya rasa menjalani usia remaja sangat singkat dan tiada kepuasannya. Betullah kata orang  banyak -" Usia remaja sangat singkat masanya, lalu jangan sesekali kita sia-siakan".
 
Mengharungi usia dewasa dan seterusnya ketahap tua dan bangka, kehidupan agak kurang sirnanya. Bukan menolak kenikmatan yang Allah SWT berikan, tetapi peralihan perjalanan agak terasa sangat berbeda. Begitu pun dalam apa bentuk usia, sewajarnya kita bersyukur kepada Illahi Rabul Izzati atas pemberiannya.

Diusia yang lanjut ini, demi sesuatu dalam meneruskan kelangsungan sebuah kehidupan macam-macam boleh berlaku. Kita bisa sahaja kehilangan maruah dan harga diri dek desakan sebuah keperluan hidup yang sangat menyeksa minda. Namun kesyukuran tetap dipohonkan demi menemui sebuah keredhaan dariNya jua.

Salam hormat saya, jumpa lagi..... 

08 Disember 2010

SALAM MAAL HIJRAH

MAAL HIJRAH 1432H


SALAM MAAL HIJRAH 

SAYA UCAPKAN KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN BLOGGER DI MAYA INI. 
SETAHUN LAGI USIA DIPINJAMKAN,
SEMOGA KITA SEMUA DAPAT MENAFAATKANNYA KE ARAH KEBAIKAN.
APALAH ERTINYA USIA, JIKA IANYA BERLALU DENGAN SIA-SIA?

BAK KATA PERPATAH LAMA;

DUHAI TAULAN,  ADUHAI RAKAN,
WALAU DIMANA KAU DICAMPAKKAN,
JIKA TIDAK DIKENAL IKAN,
TUHAN TAHU IAKAH BUKAN.

Salam hormat saya, jumpa lagi....wassalam...

12 November 2010

SALAM AIDIL ADHA BUAT SEMUA.....

          Tanpa disedari Hari Raya Aidil Adha akan bertandang seminggu lagi. Lantaran dalam menghayati dan memeriahkan suasana Aidil Adha itu sendiri sama-samalah kita menjalani ibadat korban mengikut lunas yang ditentukan.


          
          Dikesempatan ini saya mengucapkan Salam Idul Adha kepada semua rakan-rakan Islam FB dimaya ini. Sekiranya terdapat salah saya dalam mengeluarkan apa bentuk tulisan di entry saya yang menyinggung perasaan semua saya mohon ampun dan maaf. Sebagai seorang insan yang daif tentulah dalam melontarkan karya di ruang sempit ini banyak perkara-perkara yang menguris hati dan perasaan semua. 

Salam hormat saya jumpa lagi.....

29 September 2010

MEMBENA SEBUAH KOLAM IKAN BEPANCURAN AIR

Salah sebuah kolam yang mampu merwat minda dari
bebanan masalah yang pelbagai





Ikan Koi....menyeri kolam taman


Ramai rakan-rakan yang bertanya, bagimanakah untuk membena sebuah kolam ikan berpancuran air di kawasan ruang taman yang kecil dan sempit?..


Membena kolam ikan/pancuran air di satu kawasan yang sebegitu sebenarnya tidaklah menjadi sangat susah untuk dilakukan. Pertama dengan cara kita boleh membenanya disekeliling kawasan berkenaan (seperti saliran yang dikepung dengan konkrit) lalu membuat aliran air yang berpusing (water circle) melalui pump yang bersaiz sederhana. Atau kita juga boleh membena sebuah kolam konkrit diatas tanah atau sebuah kolam yang digali dan disimin disekeliling kolam berkenaan.

Samada bentuk kolam anda dibena diatas tanah, digali atau dibuat seperti kepungan saliran sebenarnya adalah bertujuan untuk menghadirkan satu suasana segar, sejuk yang berair dan nyaman di kawasan sekitar taman kecil anda sahaja. Germercik bunyi air dengan gemersik hebusan bayu yang sesekali menampar tubuh akan membuatkan kita terhindar dari suasana hiruk pikuk kota dan bebanan kerja yang tidak berpenghujung semasa berada dirumah sendiri.

Percayakah anda dengan terbenanya sebuah kolam/pancuran air, kawasan taman yang dulunya sepi dan murung, akan mejadi satu bentuk terapi yang mampu merawat minda anda?

Berada dalam taman yang penuh dengan suasana alam semulajadi akan merawat minda yang selalu berserabut dengan masalah yang pelbagai. Bagi menambah aksesori kolam/pancuran anda, anda boleh menambah dengan cara mengisinya dengan ikan-ikan yang berwarna warni (species ikan koi dan emas) juga meletakkan beberapa tanaman pohon yang bersesuaian mengikut selera dan kemampuan. Meletakan bongkah-bongkah batu besar atau tunggul kayu dilihat lebih asli untuk dijadikan tempat istirehat.

Sebenarnya kos membena kolam/pancuran tidaklah begitu mahal, apa yang diperlukan ialah kepakaran tukang yang mampu mengikut rekabentuk yang kita kehendaki. Tambahan aksesori boleh dibuat secara berterusan dan sesekali ubah kedudukan tanaman yang berpasu supaya tidak dijemu dipandang. Bersihkan kolam anda sekurang-kurangnya tiga bulan sekali atau mengikut keperluan. Rawatan bagi air hendaklah sentiasa dipastikan bagi mengelakkan kehidupan parasit yang tidak diingini mendominasi kolam kesayangan anda nanti.

Sedikit tip yang saya berikan ini mungkin mampu menjawab permasalahan yang sedang bermain difikiran anda sekarang. Selain itu sesiapa pun yang boleh memberikan pandangan mengenai kolam dan taman sangat saya alu-alukan untuk memberikan pandangan di blog saya ini.

Jumpa lagi di entry akan datang.....


21 September 2010

AIDILFITRI YANG KUDUS....

SALAH SATU SNAP YANG DAPAT DILIHAT
DALAM SUASANA PAGI AIDILFITIRI





Bercerita tentang Aidilfitri yang terindah yang baru saja kita lewati, sudah semestinya banyak kenangan yang manis dan muluk-muluk kita lalui. Pertama berkumpul bersama anak-anak, isteri dan keluarga semua. Rakan taulan dan saudara yang bertandang pagi, petang, siang dan malam sangat memeriahkan aidilfitri. Menikmati hidangan yang seadanya, sehingga kebentak perut diisi.

Benarlah kata orang-orang tua, Aidilfitri satu kemenangan terindah yang sangat kudus untuk dihayati. Menghayati aidilfitri terdapat kisah suka duka dalam diri. Bermuhasabah, menelurusi masa lalu, mendekatkan lagi aidilfitri yang bertandang dihati. Dalam sibuk beraya dan ziarah menziarahi, tak sedar kita berada dihujung aidilfitri. Dalam hati memohon doa kepada Ilahi, agar adilfitri yang kudus ini dapat bertandang lagi di masa-masa yang akan datang.

Salam hormat saya, jumpa lagi.....

PENJARA RASA


Satu Ruang yang bisa melepaskan rasa
yang
terpenjara sekian lama....




Merenung serta mengingati hal-hal dalam kehidupan, lalu saya teringat beberapa patah ayat. Dibawah ini saya nukilkan ayat-ayat tersebut, bukannya untuk meluah perasaan, saya bimbang jika ianya tersimpan dalam kotak ingatan, ianya akan hilang dan lenyap begitu sahaja, bukankah lebih elok jika di dokumentasikan untuk tatapan rakan-rakan semua.


SEMEMANGNYA DIK,
BERSAMA ARUS YANG MUDIK,
AKU JUA KETIRISAN CINTA,
LALU AIR MATAMU KU TELAN SAMA.


( Kata-kata ini dipetik dari sebuah buku komik karya seorang Sahabat Allahyarham Nik Nordin
jika tak silap saya
naskahnya bertajuk "HATIMU KU BAWA PERGI".
Allahyarham seorang pelukis bebas dan pernah bertugas
disebuah akhbar perdana di Malaysia.
Berasal dari Kelantan dan seorang ahli jemaah tabligh.
Al fateha - semoga rohnya di rahmat Allah SWT jua).


BERSAMA MENTARI SENJA,
DI BAWAH PEPOHON CEMARA,
AKU BISA MENANTIMU,
SEHINGGA KAPAN SAJA.

( Kata-kata ini dipetik dari filem Romi dan Juli Karya Wim Umboh - Pelakun utama Allahyarham Sophan Sophian bersama Lidyawati ).

Salam hormat dari saya, jumpa lagi dilain catatan...

02 September 2010

SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATHIN


Jika dikira mulai hari ini, mungkin seminggu lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kelihatan begitu awal menitip salam lebaran kepada semua blogger di maya ini.

Bukannya apa kata orang Johor. Ramadhan akan melabuhkan tirainya beberapa hari lagi ( cepatnya Ramadhan bergerak meninggalkan kita semua ). Jika lewat menulis N3 kisah aidilfitri, bimbang di musim perayaan kita tidak menjenguk N3 rakan-rakan. Jika lewat takut N3 dah basi pulak. Kot-kot sibuk punya sibuk nak cari sampul ketupat dan rempah rendang satu apah pun tak ditulis mengenai HARI RAYA AIDILFITRI....


Sementara semangat raya tengah berkobar-kobar ni, eloklah saling mengucapkan salam di antara kita.


DIRUANG KESEMPATAN INI
SAYA SEKELUARGA MENGUCAPKAN
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
SERTA
MAAF ZAHIR BATHIN
KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN BLOGGER
DI MAYA INI
SEGALA KHILAF DAN SALAH SAYA
DI POHONKAN KEMAAFAN
ANDAIKATA TUTUR DAN TULISAN SAYA
MENYINGGUNG PERASAAN DAN HATI
TUAN/PUAN SEMUA
SAYA MOHON RIBUAN KEMAAFAAN
YANG TIDAK TAK TERHINGGA...



Kepada semua sahabat-sahabat blogger dipersilakan datang ke rumah saya jika ada kelapangan..


ASAP API KAYU BEREMBUN,
NYIUR YANG TUA JANGAN DIHIMPUN,
JIKA TERDAPAT DOSA BERKURUN,
HARAP TUAN SUDI MENGAMPUN.


Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Bathin dari Zedmagel & Keluarga