Senarai Blog Saya

Teman, Rakan dan Sahabat

Cari Blog Ini

26 Mac 2010

UMNO DAN JUARA RAKYATNYA


YAB PERDANA MENTERI ...seboleh-bolehnya berusaha untuk memenangi hati rakyat...Mungkinkah?


LOGO PROGRAM JUARA RAKYAT



Menelurusi beberapa blog mengenai JUARA RAKYAT yang sekarang ini sedang rancak di lestarikan oleh pihak Kerajaan dan Parti UMNO saya tidak menemukan objektif dan misi yang khusus yang benar-benar tepat mengenai program itu. Menyemak dari beberapa siri ucapan dari pemimpin yang telah merasmikan program ini, samada YAB Perdana Menteri, Timablan Perdana Menteri atau menteri-menteri kanan dalam UMNO, lalu saya rumuskan tujuan JUARA RAKYAT digerakan adalah seperti berikut.


MISI DAN OBJEKTIF JUARA RAKYAT :

1. MENDEKATKAN PARTI DAN PEMIMPIN KEPADA SEMUA LAPISAN RAKYAT PELBAGAI KAUM DI SELURUH PELOSOK TANAH AIR.

2. KERAJAAN BERHASRAT UNTUK TERUS MENJUARAI HATI DAN KEHIDUPAN RAKYAT DENGAN MEMBELA NASIB RAKYAT.

3. INGIN MENJADIKAN SEBUAH KERAJAAN YANG RESPONSIF TERHADAP KEPERLUAN DAN MASALAH RAKYAT.

4. MEMASTIKAN KERJAAN SENTIASA BERADA DI BARISAN HADAPAN UNTUK MEMBELA NASIB RAKYAT.

5. BERSIFAT IKHLAS MAHU MEMBANTU RAKYAT, MENDENGAR RINTIHAN DAN MELIHAT SENDIRI PERMASALAHAN MEREKA.

6. KE ARAH PEMBENTUKAN KESEJAHTERAAN DAN PERPADUAN NASIONAL BERSESUAIAN KONSEP SATU MALAYSIA - RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN.

Inilah hasil kedapatan kajian yang saya lakukan mengenai JUARA RAKYAT, jika misi diatas dapat dilaksanakan saya rasa usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui UMNO adalah sangat murni. Tetapi keberkesanannya masih belum boleh dinilaikan lagi. Ada juga sesetengah pihak mengatakan program ini sebaliknya.

Penerimaan dan pandangan diantara kita, akan sentiasa berbeza jika minda kita masih berupaya untuk berfikir lagi.

Salam hormat dan mesra dari saya.




10 Mac 2010

SEPERTI YANG DI JANGKA........


ANTARA LOGO FACEBOOK


Jika dalam entry yang lalu, aku pernah menyatakan ramai blogger yang akan beralih ke facebook apabila telah sampai mood atau anginnya. Sekarang ternyatalah aku lebih memilih facebook dari menulis di entry di blogku. Blogku semakin terabai dek penangan asyik bermain facebook sekarang.


Hinggakan untuk menulis entry yang sedikit ini juga aku rasakan sangat payah dan malas sekali. Sebab itu diawalnya aku sangat tidak mahu memulakan FB kerana aku yakin akan akibatnya...iaitu akan malas untuk berblog.......

23 Februari 2010

CERITA RAKYAT DAN DONGENG TENTANG MELAYU

BABAK DARI SEBUAH PEMENTASAN DRAMA
PAK PANDIR


ILUSTRASI PELUKIS KEHIDUPAN SEMASA PAK PANDIR



Melihat dan meneliti telatah dan cara berfikir umat Melayu pada hari ini, mengingatkan saya tentang beberapa cerita Dongeng Melayu zaman dahulu kala. Cerita Rakyat tentang kehidupan Melayu dahulu yang serba gelap, suram, beku, pengap, bingung, tolol, bahlul dan penuh keliru.

Cerita Dongeng ini pernah saya dengar sendiri disampaikan oleh tuan yang empunya ceritra sebelum waktu tidur ( bed time story tales ) di zaman kanak-kanak saya. Saya tidak pasti samada cerita ini benar atau sekadar cerita hiburan rakyat. Berkemungkinan ianya merupakan salah satu propaganda sang penjajah di zaman itu untuk memudarkan semangat juang dan arus pemikiran kaum Melayu Islam pada masa itu. Biasanya saya telah dibuai ke alam mimpi yang penuh indah syahdu sebelum tamat cerita tersebut.

Dibawah ini salah satu petikan ceritra Dongeng Melayu yang saya kutip dari web untuk tatapan semua.

Sebuah Kisah Dongeng Melayu - PAK PANDIR :

"Setelah lepas makan, hari pun malamlah. Hatta, pada keesokan harinya, kata Mak Andeh kepada Pak Pandir, sekarang jerangkan air ke api. Setelah panas suam-suam kuku mandikanlah anakku ini. Aku hendak pergi mencari ubat budak ini.

Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Maka Mak Andeh pun pergilah mencari daun genggayang membuat pupuk kepala anaknya itu. Sepeninggalan Mak Andeh pergi itu, Pak Pandir pun melekat api menjerangkan air di dalam kawah. Ada seketika air itu pun panaslah serta menggelegak sedang gelora. Maka diambilnya anaknya itu, di masaukkannya kedalam kawah itu, lalu matilah menyeringai gusinya serta menggelupas kulitnya. Maka kata Pak Pandir, "Amboi sukanya anakku mandi air panas rupanya".

Kemudian lalu diangkatnya budak itu dari dalam kawah, di timang seraya berkata "hai suka sangat anakku mandi. Mandilah lagi". Serta di masukkannya pula kedalam kawah itu.

Maka seketika lagi Mak Andeh pun baliklah membawa daun gengganyang akan ubat anaknya, langsung naik kerumah mendapatkan anaknya. Maka dilihatnya tiada anaknya di tempat tidurnya itu. Maka Mak Andeh pun meneriakkan Pak Pandir seraya berkata, "kemana perginya anak kita di sini?" Maka sahut Pak Pandir, "ini bukankah dia, sedang ku mandikan. Cuba juga lihat, terlalu suka dia Andeh".

Maka Mak Andeh pun segeralah pergi kedapur melihat anaknya itu. Terpandanglah si anak itu telah terjeringing di dalam kawah yang sedang mendidih airnya dengan gelora sangat itu. Maka Mak Andeh pun mengucap, demikian katanya, "Astaghfirullah! Apa mulanya Pak Pandir demikian? Cheh, Pak Pandir sial bedebah tak mahu ditangkap harimau panjang tujuh, buaya panjang sembilan, supaya bangat matinya. Adakah patut air yang seperti ini panasnya itu dicelurkan kanak-kanak! Amboi, gunung payung, intan gemala, urat rambut batu kepala emak, matilah anakku! Sampainya hati bapamu membunuh akan dikau".

Maka berbagai-bagailah bunyi ratap tangis Mak Andeh, lalu dipalunya akan Pak Pandir serta ia mengambil anaknya. Demi didengar oleh Pak Pandir akan kata Mak Andeh anaknya sudah mati itu, barulah ia menangis serta menghempaskan kepalanya pada segenap bendul dan tiang rumah itu, sepertikan gila lakunya hingga mendatangkan ketakutan pula kepada Mak Andeh melihatkan kelakuan Pak Pandir itu, kalau-kalau ia mengamuk pula. Maka Mak Andeh pun berkata," janganlah Pak Pandir tersangat risaukan kematian anak kita ini. Baiklah awak pergi tanamkan budak ini, balutkan dengan belat ini dahulu, kemudian tanamkan".

Setelah Pak Pandir mendengar perkataan Mak Andeh itu, maka ia pun pergilah membalut anaknya itu dengan belat lalu dipikulnya, dibawa ketempat perkuburan.

Arakian, telah sampai separuh jalan anaknya itu pun terjatuhlah dari dalam gulungan belat itu, tiada di ketahui oleh Pak Pandir. Setelah sampai ke kubur, ia pun mengorek liang lalu ditanamkannya belat segulung itu tiada dengan periksanya lagi, lalu ditimbusnya. Kemudian ia pun berjalan pulang. Apabila ia sampai separuh jalan maka bertemulah ia dengan mayat anaknya yang tertinggal tadi. Maka apabila di lihat oleh Pak Pandir akan mayat itu, maka ia pun berfikir dihatinya, "Hai bukanlah aku seorang sahaja yang kematian anak ini, ada pula orang lain yang mati anaknya juga. Serupalah nasibnya dengan untungku ini".

Maka ditatapi pula oleh Pak Pandir rupa mayat itu, betul-betul serupa dengan anaknya daripada muka, hidung sifat tubuhnya sekali dan perempuan juga. Maka dengan sesaat itu hilanglah dukacitanya lalu segeralah berlari pulang. Serta sampai ke halaman tangganya ia pun berseru akan perempuannya, katanya, "Andeh, Andeh! Bukannya kita sahaja yang mati anak rupanya, orang lain pun ada juga yang mati anaknya, perempuan juga dan rupanya pun semacam betul-betul dengan anak kita".

Maka sahut Mak Andeh," agaknya kalau-kalau anak kita juga tercicir ditengah jalan dari dalam belat itu kalau awak tidak sedar".

Maka kata Pak Pandir, "tidak Andeh. Aku rasa berat yang aku tanamkan tadi." Maka sahut Mak Andeh baiklah, "moh kita lihat pula". Kata Pak Pandir, "mohlah, Andeh aku tunjukkan." Maka kedua-duanya pun pergilah bersama-sama berjalan. Tiada berapa antaranya sampailah kepada mayat anaknya itu. Maka kata Pak Pandir kepada Mak Andeh, "inilah dia anak orang yang mati itu. Bukankah serupa dengan anak kita, Andeh".

Telah dilihat oleh Mak Andeh, dikenalnyalah akan anaknya. Maka Mak Andeh pun marahlah dengan sumpah seranahnya akan Pak Pandir, lalu diambilnya seraya didukung mayat kanak-kanak itu serta di suruhnya Pak Pandir mengorek belat yang ditanamkan itu. Lalu di balutkan anaknya, ditanam semula. Setelah sudah keduanya pun pulanglah kerumah dengan dukacitanya hingga malam hari tiadalah tidur Pak Pandir laki isteri.

Inilah sebahagian petikan cerita tentang kehidupan sebilangan masyarakat Melayu Islam masa itu, saya rasa cerita itu tiadalah kebenarannya melainkan semata-mata sebagai hiburan dan untuk pengipurlara cuma.

Tetapi jika dilihat kepada sikap masyarakat Melayu Islam yang serba tak kena pada hari ini, terbit juga difikiran saya akan kebenaran cerita dongeng tersebut, jika di zaman kini yang serba maju masih terdapat masyarakat Melayu Islam yang serba keliru, mentelahlah lagi di zaman itu yang masih kolot dan tidak berilmu.

Moral dari cerita ini, untuk menyeru kepada Umat Islam Melayu supaya bersatu jangan terus berfikiran jumud dan terus keliru seperti zaman dulu-dulu. Salam hormat saya buat teman semua.


19 Februari 2010

SEBUAH PUSARA SUNYI - APALAH YANG ADA PADA DUNIA?

SEBUAH PUSARA SUNYI


YAB PERDANA MENTERI


YAB MENTERI BESAR



SEBUAH PUSARA SUNYI - APALAH YANG ADA PADA DUNIA ?

Inilah tajuk entry saya pada Hari Jumaat legi ini. Jika kita melihat disekeliling pada hari ini - ramai sahabat, ahli keluarga, teman, rakan dan mereka-mereka yang kita kenali sudah tiada. Teman yang dulunya sering makan dan minum bersama kita, hari ini telah tiada - telah berpindah ke alam lain (meninggal dunia).

Jika semalam mereka mungkin bergurau senda dengan kita, atau kita mengutuk dan bermesra dengan mereka, tapi hari ini mereka tiada lagi disamping kita. Mereka begitu jauh dari kita. Kerana hidup di dunia ini adalah sementara.

Ada juga terjadi, semasa hayat kita bersama. Kita sering bercakaran dan bertengkar bersama mereka, disebabkan tidak sependapat dan tidak sebulu dengan mereka. Lain halatuju politik dengan matlamat sendiri.

Hari ini jika kita amat-amati pemimpin Melayu sering bercanggah pendapat dan tidak sehaluan dalam menegakkan kepentingan politik masing-masing. Walaupun mereka sesama Islam dan sebangsa pula, caci maki, maki hamun, salah menyalahkan antara satu dengan yang lain, seperti dilihat tiada ruang untuk merapatkan mereka. Saya faham, kerana ini dunia politik yang penuh dengan permainan dan haru biru. Tapi bukankah kita semua bersaudara?

Andainya pada hari ini jika kita benar-benar berhasrat untuk membangunkan Islam dan nasib Orang Melayu, mentelah pula kita boleh berfikir untuk menjuruskan satu matlamat iaitu untuk kebaikan Islam dan Melayu itu sendiri, apa salahnya kita bersekutu buat seketika untuk melupakan sengketa lama. Nasib agama dan bangsa mestilah didahulukan. Jangan leka dengan keindahan dunia yang sementara ini. Ke mana halatuju Islam dan Melayu 20 tahun - 30 tahun akan datang?

Jika kita fikirkan tentang sebuah pusara yang sunyi dan apa sahajalah yang ada pada dunia ini, sudah tentu kita sesama Islam dan Melayu boleh bersatu. Jika ikut nafsu serakah diri sendiri sampai bila-bila pun kita akan bercakaran sesama kita.

Melainkan kalau hari ini kita ingin membawa Melayu / Islam kita berkambus dalam sebuah pusara sunyi dan di dunia Melayu ini tanpa segalanya lagi. Teruskanlah bercakaran dan berpecah. Kerana inilah sikap orang Melayu dengan dunia tolol dan bekunya. Berfikiran jumud, buntu dan sentiasa keliru.



11 Februari 2010

SUKAR UNTUK MEMILIH, SAMADA BLOG ATAU FACEBOOK (FB)

Satu gambar yang dipetik dari blog..bukan FB


IMEJ MENARIK INI MUNGKIN TIDAK DAPAT DILIHAT ATAU DISIAR DI FB ANDA..MELAINKAN BLOG



BLOGGER DAN `FB'


Kebelakangan ini saya melihat ramai rakan-rakan blogger saya berjinak-jinak ke dunia facebook (fb). Kebetulan laman blog dan fb berada dalam maya yang sama dan beriringan memungkinkan mereka mudah untuk menelurusinya samada di notebook atau pc masing-masing. Begitu juga dengan saya, tidak terkecuali. Hasilnya ramai diantara kami tidak dapat mengurus blog dan N3 yang baru disebabkan fb tidak memerlukan kita banyak masa untuk memerah otak bagi menghasilkan karya.

Ada juga rakan berpendapat fb lebih sesuai untuk remaja dan golongan muda, sementara blog untuk mereka yang dewasa dan berusia. Kedapatannya saya memutuskan samada fb atau blog adalah untuk semua golongan, kerana di fb sendiri ramai rakan-rakan yang dewasa, sementara di blog ramai juga remaja yang menyertainya. Lalu memutuskan dunia maya adalah untuk semua golongan menafaatkanya meneruskan kelangsungan bentuk komunikasi di zaman dunia tanpa sempadan ini.

Berbalik kepada tajuk - Sukar Untuk Memilih, Samada Blog atau FB, jelaslah ramai teman-teman blogger yang tidak dapat menyiapkan N3 baru mereka dek peti mel masing-masing dihujani dengan mesej yang masuk tidak putus-putus, dimana untuk membaca mesej, masuk ke laman fb teman dan membalasnya akan mengambil masa beberapa minit, itu hanya satu mesej bayangkan jika anda dihujani 30 mesej sehari. Tentulah akan menjejaskan untuk menulis N3, hasilnya N3 baru akan terbit hanya seminggu sekali atau mungkin lebih lama dari itu.

Sesetengah teman blogger apabila saya sarankan untuk mampir ke dunia fb mereka enggan untuk menelurusinya, bukan mereka menolak terus, namun saya kira mereka tidak mahu terperangkap dalam dunia fb. Begitupun ada juga teman blogger yang mempunyai fb tetapi tidak cenderung ke arah itu, hanya sekedar memiliknya sahaja.

Apapun blog dan fb adalah bentuk komunikasi dizaman ini untuk mengeratkan lagi hubungan kita sesama manusia di maya. Buat saya akan melayari kedua-duanya jika termampu sebaik mungkin yang boleh.

SALAM HORMAT SAYA...JUMPA LAGI....!!!

04 Februari 2010

DUNIA PUISI - PENABAHARI

SAUDARA PENABAHARI



Salam Buat semua rakan blogger,

Saya berkesempatan untuk singgah di blog - seorang teman, Penabahari di lamannya ARKED WAKTU, siapa yang tidak mengenali beliau?. Dia seorang pemuisi dari Bumi Kenyalang. Saya sering membaca puisi-puisi beliau di dada akhbar perdana suatu waktu dahulu dan sehingga ke hari ini. Tertarik dengan sebuah puisinya, lalu saya mengangkat puisi tersebut diblog saya dengan keizinannya, untuk ditatap oleh semua pembaca. Puisi ini begitu dekat dengan saya, kerana pengisahannya seperti kehidupan kanak-kanak saya suatu masa dahulu. Terima kasih saudaraku PENABAHARI.

Mungkin sedikit suntingan dari saya, bagi kesesuaian, saya dedikasikan khas untuk arwah ibu saya. Al Fateha.




KETIKA GETAH TERAMAT MURAH

(Al-marhumah Ibu saya Fatimah Ma'on
yang sentiasa dalam kenangan kami semua)



HUJAN pagi tadi mengingatkan aku
seorang penoreh getah
Emakku namanya
adik bongsu pamanku
menongkah masa papa
ketika getah teramat murah
detik negara di ambang merdeka

Pelita menyala terikat di dahi
ke kebun getah seawal dinihari
Emakku menoreh untuk sesuap nasi,

ketika mentari di atas jemala
Emakku kembali dari kebunnya
dua keping getah basah dikandar
untuk dijual di kedai runcit
milik Ah keat yang "baik hati"
harga jualan murah sekali

dengan hasil jualan getah
Emakku membeli keperluan rumah
gula, kopi dan juga beras,
di wajah nenda tenang terpancar
tentu kami tidak berlapar
ah! sukarnya biarpun abah di rantau
kuingin abah cepat kembali
dari kembaranya di hujung negeri

Pabila hujan membasahi bumi
resah mendakap kami
getah tidak boleh ditoreh
Emakku bertandang di rumah jiran
meminjam beras secupak cuma
untuk menghilangkan nyeri keluarga

Emakku berhenti menoreh getah
hasilnya gagal menghilang payah
akhirnya dia berubah kerja
menjadi penjual kuih biasa
kuih dijual di kedai tua
untuk membeli keperluan cuma

kembali dari berjaja
Emakku beroleh sedikit wang
dibawanya aku ke jalan besar
membeli senaskhah komik Melayu
cerita bersiri keris pusaka
di kedai buku Toko Mustafa
tugasku jadi pembaca
kerana Emakku rumi tunaaksara

Orang kampung sayangkan Emakku
kerana jasanya sebagai bidan kampung
mengubati jiran-jiran yang sakit puan,
tulang tuanya banyak berjasa
membaca matera tinggalan baka
coretan kapur sebagai penyudah
selebihnya diserahkan pada Allah
Tuhan seru sekalian alam

Setiap malam aku dan Emakku
bertandang ke rumah Lebai Mamat
solat berjamaah maghrib dan isyak,
selesai solat Emakku ajar mengaji
ilmu fiqah dan tasawuf juga
selesai mengaji kami pulang
pagi nanti Emakku berjaja lagi

Ketika usia empat belas tahun
aku belajar di sekolah menengah
Emakku masih berjaja lagi, aku pengganti
kerana gangguan kesihatan
siang malam tak henti asma
badannya kurus seperti turus
rupanya Emakku derita lagi

Dua tahun Emakku derita
pelbagai ubat telah dicuba
akhirnya Emakku tewas jua
di awal Ramadhan detik berduka
setelah puluhan tahun
menghela nafas merdeka

Dalam redup pagi yang sunyi
kami bersama mengusung jenazah
berakhir perjuangan si penoreh getah
terluka oleh harga
getah yang teramat murah
ketika masa mentafsir merdeka

18 Januari 2010

Penabahari,

ARKED WAKTU.


JAWAPAN PENUH PERKATAAN DAN ISTILAH TEMPATAN

APA KATA WANITA -
Adik Zamzarina yang manis ni
pernahkah menggunakan perkataan lama?



Assalamuailaikum semua. Apa khabar?

Saya doakan semuanya sihat dan sejahtera.

Setelah sekian lama membiarkan minda anda bercelaru dan harubiru dengan beberapa perkataan/istilah tempatan lama yang jarang-jarang kita gunakan lagi. Saya kira masyarakat kita tidak menggunakan perkataan-perkataan tersebut disebabkan ianya telah digantikan dengan perkataan baru yang lebih lembut, bersopan dan kedengarannya lebih elok dan menarik untuk digunakan.

Untuk tidak memusangkan lagi minda anda, hari ini saya berikan jawapannya, secara tepat dan betul mengikut kebiasaan yang digunakan oleh masyarakat kita pada ketika itu. Tetapi di entry sebelum ini ada banyak perkataan lain yang saya berikan, silalah mengikutinya.

1. Perun - Tempat membakar sampah / atau perbuatan membakar sampah itu sendiri disebut me 'merun'. Ayat - Pak Dalyell mengumpul sampah sarap untuk dibuang di perun dibelakang rumah.

2. Tajo - Alat memancing , joran / atau perbuatan menahan (memacak ) pancing disatu tempat itu disebut menajo.

3. Cega - Berjaga-jaga (perbuatan ). Ayat - Syah Putra mencega Mat Bangla yang lalu didepan rumah dari mengusik adiknya.

4. Honges - Memakan buah dengan menggunakan mulut tanpa mengupas kulitnya. Ayat - Pak Kuntong menghonges buah asam ditangannya kerana terlalu lapar.

5. Kokel - Perbuatan memakan buah seperti honges (tetapi lebih sesuai untuk binatang). Ayat - Sungguh leka Sang Tupai mengokel buah durian di kebun Amirhamzah.

6. Kaus -
Katil. Ayat - Sila rujuk petikan ayat Syah Putra dalam komen di N3 lalu.

7. Gebar / Gebo -
Selimut - sila rujuk petikan ayat Syah Putra di N3 lalu ( ayat paling kelakar).


Jika kita sama-sama amat-amati dan kenangkan semula tentu kita pernah mendengarnya dari perbualan orang-orang lama seperti nenek dan datuk kita. Perlukah kita gunakan perkataan-perkataan tersebut, biarpun telah ada perkatan baru yang lebih elok, mulus yang menggantikannya.

SALAM HORMAT DARI SAYA...JUMPA LAGI.

JAWAPAN DAN SOALAN BARU - BAGI ISTILAH PERKATAAN DULU-DULU

Inilah hidangan enak bagi pemenang Soalan Cepumas
Istilah Perkataan Tempatan...


Asalammualaikum semua teman-teman blogger maya di laman saya, yang sangat-sangat best dan sporting. Sejak saya menulis entry perkataan / istilah tempatan blog saya menerima banyak respon yang pelbagai dari teman-teman semua. Ramai yang cuba menjawab tetapi salah dan tidak tepat. Ada yang memberikan jawapan sebahagiannya betul dan yang lain salah. Ada juga yang cuba menjawab tetapi satu pun tidak tepat.

Apa-apa pun terima kasih kepada semua yang cuba menjawab samada betul ataupun salah, apa yang terbaik - kita sudah mencubanya. Akhirnya semua perkataan yang saya kemukakan telah dijawab dengan tepat dan betul oleh saudara AMIRHAMZAH - Segalanyamungkin.

Saya tidaklah hairan jika semua soalan saya dijawab dengan betul oleh beliau. Kerana dia rakan ngobrol saya. Jika bukan dia pemenang baru saya jadi orang yang paling hairan dalam dunia ni. Dibawah ini saya umumkan nama pemenang bagi dua N3 berkenaan :

Johan - AMIRHAMZAH - Segalanyamungkin
Naib Johan - Tuan DALYELL - JB

Ketiga - SYAH PUTRA - JB

Tempat Keempat - Idalara, kakcikseroja, Kuntong, Jeffry- Demensi, Ai@reel, Teja, Penabahari dan Lanabulu, Cekodokmasin.

Kepada Saudara Amirhamzah - Segalanyamungkin, terpaksalah saya belanja makan kueytiow udang kat Warong Rakyat Pesta, BP petang ni. Jika dia gagal menghadirkan diri, niat nak belanja tidak akan dibawa pada hari esok. Selamatlah saya.

Untuk semua - N3 kali ni saya menyediakan soalan lagi dengan perkataan baru yang saya kemukakan. Ini termasuk perkataan lama yang masih belum dijawab. Saya minta untuk semua tuan/puan /cik / adik / kakak mencubanya. Tapi soalan ini tidak dibuka kepada saudara Amirhamzah, bukanlah saya takut untuk membelanjanya kueatiow udang, tapi sebab dia dah jadi Johan kalau dia menang lagi takan dia nak jadi Johan memanjang pulak.

Perkataannya dan pembayangnya ialah :-

1. kedek (alat)
2. ngetet (perbuatan)
3. lasuh ( anggota badan )
4. mencekaunya ( perkataan yang menunjukkan )
5. leca ( alat )
6. hadap (perbuatan)

7. hampang (perbuatan)
8. boko (perbuatan )
9. mentakedarah (perbuatan )

10. mengcoho ( perbuatan )

11. hamput (perbuatan )


Inilah sebelas perkataan yang dulu-dulu pernah kita dengar tetapi sekarang telah berlalu dibawa arus perubahan ungkapan asakini kerana ianya telah digantikan dengan perkataan baru yang lebih manis, muluk dan indah-indah.

SILALAH CUBA MENJAWABNYA,
TERIMA KASIH.
WASSALLAM.....!!!!!


02 Februari 2010

ISTILAH TEMPATAN ( LOCAL WORDS)

ALAM JUGA - SECARA SEMULA JADI
BERINTERAKSI SESAMA SENDIRI...
PERNAHKAH ANDA MENDENGARNYA ?



SATU RUANG KOSONG - JUGA MUNGKIN ADALAH
MAHKLUK LAIN YANG SEDANG BERINTERAKSI
SESAMA SENDIRI....DAPATKAH ANDA MELIHATNYA..?


N3 kali ini saya sediakan beberapa lagi perkataan yang sering digunakan oleh masyarakat lama Melayu ( zaman kanak-kanak saya ) dalam daerah Batu Pahat. Tapi jika saya mengunakan perkataan ini ketika berbual dengan anak-anak saya pada hari ini, mereka akan bertanyakan balik perkataan berkenaan, contohnya :

1. ngedek / kedek
2. perun
3. ngetet
4. lasuh
5. tajo

6. cega

Jika sesiapa tahu, sila berikan maknanya perkataan atau ayat-ayat contoh. Dan saya angkat semula beberapa perkataan yang tak mampu dijawab oleh blogger dalam N3 yang lalu seperti :

1. mencekaunya
2. leca
3. kokel

4. honges


Saya pelawa semua blogger mencubanya, terutamanya :

Kuntong, kakcikseroja, zaijb, jeffry - demensi, aireel, Idalara, Noorlara, Syahputera, Adi, Wahyujatmika, Penabahari, Intan RH, Selempangmerah, Reen, Neezareef, Zaijb, Zai, Lanabulu, Teja, Sakurasa, Lenz, Dino, Eizainhouse, Dino, Mahligairezki, Dal, Jaja. D rimba dan semua sekali lah yang sudi singgah....


Amirhamzah ( Segalanya mungkin) tak payah menjawab, kerana saya pasti dia faham, sebab dia orang kampung saya....(jangan marah bro)..

SELAMAT CUBA MENJAWAB......!!!!!!
JUMPA LAGI.....!!!!





29 Januari 2010

ISTILAH SESUATU TEMPAT, MUNGKIN KITA TIDAK MEMAHAMINYA

Tumbuh-tumbuhan juga berkomunikasi diantara mereka
cuma kita tidak mendengarnya....


Haiwan juga berkomunikasi diantara mereka,
kita mendengarnya...tetapi kita tidak faham bahasa mereka...

Walaupun kita menetap di daerah, negeri hatta di negara yang sama, kekadang terdapat beberapa istilah tempatan yang tidak kita fahami langsung apa maksud atau maknanya apabila berbual dengan teman-teman. Ini tidak termasuk pula dengan bahasa suku kaum misalnya Jawa, Banjar, Bugis, Iban, Kadazan, Murut dan sebagainya lagi.

Pernah saya berbual dengan teman se mukim dengan saya, lalu kawan disebelah tidak tahu makna istilah yang saya sebutkan tadi. Misalnya disini saya berikan beberapa perkataan yang yang sering digunakan yang membuatkan anda tidak faham maksudnya :

1. mencekaunya
2. leca
3. kaus
4. gebar
5. kokel
6. honges

Jika anda faham atau tidak, sila berikan maknanya dengan agak-agak sahaja. Soalan ini tidak dibuka kepada penduduk daerah Batu Pahat yang mungkin boleh memahami maksud perkataan diatas. Tapi untuk menjawabnya tidaklah menjadi kesalahan.

Terima kasih kerana mencuba.

21 Januari 2010

BAGAIMANA KHATOLIK TERCABUT HAKNYA DISISI ALLAH

ALLAH HANYA HAK UMMAT ISLAM


Allah Turunkan Nabi dan Kitab. Musa a.s. dan Taurat kepada kaum baginda.

Diadakan perjanjian mengesakan Allah, menerima nabi lantikan Allah, mentaati Allah melalui garispanduan kitab. Melafazkan kalimah tauhid.

(Al Qur-an: 2:83) Dan [ingatlah], ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil [yaitu]: Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapak, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.

Ummat Nabi Musa a.s. mengingkari perjanjian itu. Hak Allah tidak dilaksanakan. Hak Nabi dimungkiri. Kitab ditulis semula. Yang haram dihalalkan dan sebaliknya. Ummat Musa a.s. tidak lagi bertuhankan Allah. Kafir. Sesat. Sebahagian besar ummat Nabi Musa a.s. telah mencipta agama baru sendiri yang sesuai dengan nafsu mereka; ikutan yang tidak samawi lagi.

Allah cabut hak ummat itu. Tiada hak walaupun memanggil Allah - Allah.

2000 tahun kemudian.

Allah Turunkan Nabi dan Kitab lagi. Nabi Isa a.s. dan Injil. (Qur-an 5: 70) ... Sesungguhnya Kami telah mengambil perjanjian dari Bani Israil, dan telah Kami utus kepada mereka rasul-rasul. Tetapi setiap datang seorang rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka, [maka] sebagian dari rasul-rasul itu mereka dustakan dan sebahagian yang lain mereka bunuh.... Iaitu .....

Diadakan perjanjian mengesakan Allah lagi sekali. Diminta menerima Nabi Isa a.s. lantikan Allah. Dikehendaki menta'ati Allah melalui garispanduan kitab Injil. Lalu apa yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasrani? (Qur-an 5:72) ... Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya Allah adalah Al Masih putera Maryam", padahal Al Masih [sendiri] berkata: "Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu" Sesungguhnya orang yang mempersekutukan [sesuatu dengan] Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun....

Yahudi dan Nasrani mengingkari perjanjian lagi sekali. Hak Allah tidak dilaksanakan. Allah tidak diEsakan malah ditigakan. Hak Nabi dimunkiri. Nabi mereka mereka bunuh. Kitab ditulis semula. Tidak mahu bertuhankan Allah lagi. Durhaka. Sesat. Kafir. Jahiliah.
Anutannya bukan samawi lagi. Kerana tidak berlandaskan keEsaan Allan, agamalangit dan wahyu melalui Nabi pesuruh Allah.
Allah cabut hak ummat itu. Tiada hak walaupun memanggil Allah- Allah. Allah wajibkan bagi mereka neraka.

700 tahun kemudian.

Allah Turunkan Nabi dan Kitab lagi. Muhammad s.a.w. dan Al Qur-an-ul Kariim.
Diminta berjanji dengan Dua Kalimah Syahadah.
Yahudi dan Nasrani menolak Qur-an, menolak Muhammad s.a.w. seterus menolak Allah s.w.t.
Yahudi dan Nasrani tetap beriman kepada tuhan tiruan, padri palsu dan kitab ciptaan mereka sendiri.
Anutan Yahudi dan Nasrani bukan samawi. Bukan agama langit, bukan ugama wahyu dan bukan dari bimbingan kitabullah lagi.
Allah telah cabut hak ummat Yahudi dan Nasrani itu. Kerana tidak bertuhankan Allah. Kafir. Sesat. Jahiliah. Perusak di muka bumi. Tiada hak walaupun untuk memanggil Allah Allah.

Bagaimana Yahudi dan Nasrani tempatan bimbingan orang-orang tertentu boleh mendakwa ada hak terhadap Allah? Allah itu mereka punya? Allah s.w.t. bukan buatan dari kilang-kilang mereka. Apa hak mereka memanggil Allah s.w.t. Allah? Hanya Islam yang menyempurnakan hak Allah s.w.t.. Maka Allah s.w.t. hanya menyempurnakan hak hambaNya yang mengEsakan Dia dengan panggilan Allah melalui panduan dari Muhammad rahmatul lil alamiin.

Mereka memerangi Allah Tuhan kita. Kita perangi mereka sebagaimana mereka memerangi kita. Waqul jaa alhaqqu wazahaqal batilu innal batila kana zahooqan (17:81) ... bermaksud "Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang bathil telah lenyap". Sesungguhnya yang bathil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap."

Teks dan visual diatas dipetik dari N3 - Blog Dal.

19 Januari 2010

MAJLIS PELANCARAN PERKASA NEGERI JOHOR

UCAPAN BERSEMANGAT PRESIDEN PERKASA MALAYSIA
YB. DATUK PADUKA IBRAHIM ALI



ANTARA PARA JEMPUTAN YANG MEMBANJIRI
DEWAN JUBLI INTAN BATU PAHAT DI MAJLIS
PELANCARAN PERKASA NEGERI JOHOR


SENI SILAT PERSEMBAHAN ANAK-ANAK MELAYU
BATU PAHAT DENGAN PEDANG ASLI SEBAGAI
MENAIK SEMANGAT JUANG BANGSA MELAYU



Tempoh hari, pada 17 Januari, 2010 telah berlangsung satu majlis gilang gemilang Majlis Pelancaran PERKASA Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Batu Pahat. Batu Pahat telah dipilih untuk dijadikan tempat pelancarannya memandangkan daerah ini begitu sinonim dengan kebangkitan semangat Melayu nya yang tinggi dan kedudukan geografinya berada ditengah-tengah negeri Johor.

Majlis pelancaran diserikan dengan paluan kompang, bunga manggar, barongan dan seni silat Melayu bagi menyambut ketibaan para tetamu Presiden PERKASA Malaysia YB Datuk Paduka Ibrahim Ali, Ahli Parlimen PAsir Mas Kelantan. Antara tetamu yang hadir YB Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran, Y.Bhg. Datuk Abdul Rahman Indra ( YDP PERKASA Johor) AJK PERKASA Negeri, YDP PERKASA Daerah Datuk Mohd. Sehat Datuk Mahmud.

Pengisian Majlis tersebut adalah bertujuan untuk menyeru supaya umat Pribumi dan Melayu Malaysia bersatu dalam menghadapi cabaran kelangsungan hidup Islam dan bangsanya di masa akan datang di tanah airnya sendiri. Apa yang dilihat oleh PERKASA kaum Melayu sekarang agak tenggelam suaranya sejak kebelakangan ini, dibandingkan dengan 5 tahun dahulu. Jika dahulu UMNO dilihat sebagai pejuang orang Melayu, sekarang UMNO dilihat lebih definsif demi untuk menjaga hati rakan-rakan dari parti komponen BN yang lain.

Justeru PERKASA ditubuhkan untuk membangkitkan semangat umat Pribumi dan Melayu yang buat-buat tidur atau yang sekarang sedang lena tidur kerana mereka di litupi oleh kelambu emas masing-masing.

"SALAM PERJUANGAN DARI PERKASA JOHOR,
DAULATKAN ISLAM, MELAYU KITA TEGAKKAN
DI BUMI INI, DI TANAH AIRNYA SENDIRI"


04 Januari 2010

MAJLIS PENERANGAN PERKASA DAERAH SEGAMAT

Gambar : Presiden PERKASA Pusat YB. Datuk Paduka Ibrahim Ali,
bersama Presiden PERKASA Johor Y. Bhg. Datuk Abdul Rahman Indra dan
En Mashood Hitam, YDP PERKASA Daerah Segamat

Semalam - 03 Januari, 2010 telah berlangsungnya satu Majlis Penerangan PERKASA bagi Daerah Segamat. Majlis penerangannya telah dilakukan oleh YB Datuk Paduka Ibrahim Ali ( AP Pasir Mas). Saya rasa orang Melayu (Pribumi) Segamat sangat beruntung kerana diberikan penerangan mengenai tujuan penubuhan PERKASA. PERKASA yang baru ditubuhkan lebih setahun lalu telah mendapat sambutan dari semua lapisan masyarakat Melayu dan pribumi di Malaysia.

Saya melihat penubuhan PERKASA tiada bertujuan untuk membina puak politiknya sendiri, hanya untuk membela nasib kaum pribumi yang kian terhakis keistimewaannya di bumi sendiri. Apalah erti pribumi jika laut yang didiaminya milik orang lain, tanah yang diinjaknya milik teman asing dan kuasa yang ada pada mereka yang tak sampai 30 peratus pun ingin dikongsi bersama pula.

Untuk mendengar sendiri perkembangannya, kebetulan PERKASA Negeri Johor akan mengadakan Majlis Pelancarannya pada Ahad - 17 Januari, 2010 bertempat di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat pada jam 2.00 petang, kepada umat Melayu dan Pribumi yang berkesempatan dijemput untuk turut sama hadir di majlis tersebut. Bukan untuk diminta menjadi ahli, sekadar mendengar apakah tujuan PERKASA ditubuhkan.

JIKA UMAT ISLAM MELAYU (PRIBUMI) SAYANGKAN AGAMA ISLAM, BANGSA DAN TANAH AIRNYA, silalah mendengar dan hadir di Majlis Pelancaran PERKASA Negeri Johor di Batu Pahat nanti.

Saya sangat bimbang jika MELAYU hanya tinggal nama dan akan menjadi sejarah atau tugu peringatan sahaja di bumi sendiri dalam tempoh 30 tahun lagi.....

UNTUK ITU DI JEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI DI MAJLIS PELANCARANYA NANTI.

Jika kaum Cina ada Dong Xiong, India dengan HINDRAF, Melayu hanya ada PERKASA dan ALLAH sahaja.

30 Disember 2009

SELAMAT PULANG KE TANAH AIR



Gambar Kenangan Sebelum berlepas ke Tanah Suci


ALHAMDULLIAH.......berkat doa semua - isteri, anak-anak, adik beradik, keluarga dan rakan-rakan saya telah selamat kembali ke tanah air tercinta dari Tanah Suci Mekah pada 24 Disember, 2009 yang lalu. Setelah 45 hari berada di Tanah Suci Mekah, Madinah, Arafah dan Mina saya telah selamat kembali bersama abah tersayang.

Dengan izin Allah, saya dan abah telah menyempurnakan ibadah Haji, mudah-mudahan akan dikurniakan haji yang mabrur hendaknya. Begitu juga dengan arwah emak kami lakukan badal haji untuknya juga pada tahun ini melalui seorang pelajar Malaysia di sana. Tiada pengalaman pelik dan ganjil semasa saya melakukan ibadah tersebut, segalanya berjalan lancar dan mudah, walaupun saya jangkakan cabarannya lebih dari itu. Mungkin dengan izinNya jua saya mampu menjaga abah dengan termampu mungkin bagi saya semasa disana.

Buat semua rakan-rakan yang masih belum diberikan kesempatan untuk menunaikannya, saya sarankan eloklah disempurnakan sementara kita diberikan kesihatan dari segi fizikal dan mental. Jika belum sampai rezeki pun apa nak kata? Mudah-mudahan semua rakan-rakan yang telah berniat akan diizikan untuk menunaikanya.

Terima kasih saya pada semua, salam mesra saya, wassallam. Jumpa lagi...ditulisan akan datang.

27 Oktober 2009

MAJLIS DOA SELAMAT DAN TAHLIL

LAMBAIAN KAABAH -
Sentiasa mengamit hati untuk menjadi tetamuNya




ANTARA PARA TETAMU YANG HADIR -
Gambar ikhsan Snap Maut Blogger Kuntong




SAYA DAN ABAH KESAYANGAN BERSAMA MELAYAN TETAMU
YANG SUDI HADIR
DI MAJLIS DOA SELAMAT KAMI



Pada 24 Oktober, 2009 ( Sabtu ) lepas, bermula jam 12.00 tengahari hingga 5.00 petang, saya bersama keluarga telah mengadakan satu Majlis Doa Selamat dan Tahlil di kediaman bapa/saya di Pekan Semerah, Batu Pahat. Maaf tidak dapat mengundang semua blogger di maya ini, bukan apa - saya tiada berkesempatan untuk menulis dan menjemputnya diruangan ini.

Majlis tersebut bersempena dengan bulan Zulkaedah dan Zulhijjah ini, InsyaAllah jika tiada apa aral melintang dan dengan ketentuanNya jua, kami berdua akan berangkat menunaikan rukun Islam ke 5 ( fardhu Haji ) pada bulan hadapan. Mudah-mudahan. Ramai ahli keluarga dan adik beradik, sanak saudara yang telah bersusah payah sudi membantu menjayakannya.

Beberapa rakan blogger yang sempat hadir Kuntong-Wahnuar, Amir Hamzah-Segalanya Mungkin, Lenz- Distorition, Is - Mahligairezki dan keluarga, Nurul Izza JB, Zarith Zaihasra ( Bakal Pengantin Baru ) semampu yang saya ingat dan semua rakan sekerja, sahabat sekampung, saudaramara, teman taulan yang berkesempatan dari jauh dan dekat untuk hadir dan menyumbangkan tenaga.

Di ruang lingkup ini, saya dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang telah membantu dan menyumbang tenaga, masa, wang ringgit dan segalanya bagi menjayakan majlis saya. Terutamanya kepada Imam, jemaah dan kariah Surau Pekan Semerah dan Masjid Jamek Kg Sarang Buaya yang telah menyempurnakan majlis doa selamat dan tahlil keluarga.

Saya memohon ampun dan maaf kepada semua diatas segala kesalahan dan silap saya, makan minum saya minta dihalalkan. Sebagi manusia yang naif dan daif, saya, bapa dan keluarga memohon maaf dan keampunaan dari semua manusia yang pernah mengenali kami. Jika ada tutur kata, kelakuan dan sebaginya harap maafkan.

Doa saya mudah-mudahan anda semua di bawah Rahmat Allah SWT jua.

JIKA TIDAK DIKENAL IKAN,
TUHAN TAHU IA KAH BUKAN.


INSYAALLAH... KITA AKAN BERSAMA LAGI DILAIN CATATAN, JIKA SAYA DIPINJAMKAN USIA DI MAYA INI.

SALAM SAYA BUAT SEMUA WARGA MAYA.


07 Oktober 2009

PERJUMPAAN MALAM MESRA BLOGGER BP

MENUNGGU HIDANGAN...BILA NAK MULA NI?



GAMBAR BLOGGER BP BERSAMA AHLI KELUARGA
Duduk dari kiri : Leyah (izza), Neezareef, Jaja Bini The Rock, Eiza
Berdiri : Isteri-isteri Blogger - Tuan Rumah Bro Kuntong, The Rock
Zedmagel, Rouzlen ( pemalu ) Amirhamzah64..


INI GAMBAR FAMILY BRO ZED - Antara ahli keluarga yang paling ramai hadir

Malam tadi, termeterilah satu perjumpaan blogger BP di rumah Bro Kuntong, walaupun tak besar, tetapi sangatlah meriahnya. Pertemuan pertama masing-masing agak menjaga imej dan tutur kata yang sopan, sebab bulan raya.

Jamuan memang sedap, terima kasih Bro Kuntong dan isteri Kak Arah yang bersusah payah memasak untuk kami semua mebokonya. Banyaklah perkara-perkara formal yang kami bualkan bagi mendaya dan mengayakan blog. Lepas pertemuan ini, dijangka beberapa blogger BP akan membuat pertemuan di rumah blogger yang lain, misalnya rumah baru Amirhamzah, rumah mewah Rouzlen, Jaja, Eiza, Leyah, Neezareef dan lain-lain.

Suasana Hari Raya masih kelihatan meriah lagi, apabila bunglow Bro Kuntong di sirami lampu neon yang benderang disekelilingnya.

Tahniah kepada semua rakan-rakan blogger yang hadir pada malam tadi kerana antara kita saling mengeratkan lagi tali persaudaraan Islam diantara kita. Kepada Bro Kuntong jangan serik menaja pertemuan yang sebegini lagi.

Gambar-gambar dipetik dari blog rakan-rakan yang telah dicilok tanpa kebenaran.


Dari saya dan keluarga :

KALAU ADA SUMUR DILADANG,
KALAU ADA JARUM YANG PATAH,
BOLEH KITA MENUMPANG MANDI,
LETAK MOLEK DI ATAS PETI,
KALAU ADA UMUR YANG PANJANG,
JIKA TERDAPAT SILAP DAN SALAH,
JAGAN DI SEMAT DISANUBARI,
BOLEH KITA BERTEMU LAGI,

SALAM SYAWAL DAN MAAF ZAHIR BATHIN KEPADA RAKAN-RAKAN SEMUA.


06 Oktober 2009

PERJUMPAAN MALAM MESRA HARI RAYA BLOGGER BATU PAHAT


RUMAH KAYU KAMPUNG SEPERTI INI
SUDAH JARANG KELIHATAN DI BATU PAHAT

MALAM INI GENAP 18 SYAWAL 1430H, SUDAH 18 HARI KITA SEMUA MENYAMBUT SYAWAL. TETAPI BAGI PENDUDUK DAN MASYARAKAT KITA DI BATU PAHAT, SEOLAH-OLAH MELIHAT SYAWAL BARU BERMULA. APA TIDAKNYA BAGI SEBILANGAN TAMAN PERUMAHAN ATAU KAMPUNG, ZIARAH MARHABAN ATAU BARA'AN BARU SEPARUH KAMPUNG.

SELEPAS MAGHIRIB, MALAM INI DI RUMAH BLOGGER KUNTONG - WAHNUAR, SATU PERJUMPAAN MESRA HARI RAYA UNTUK SEMUA BLOGGER DI MAYA INI AKAN DI ADAKAN DI KG MAMPAN, BATU PAHAT BERMULA JAM 8.00 MALAM. PERJUMPAAN INI KHASNYA UNTUK BLOGGER BP DAN JOHOR. TETAPI SEBAB HARI RAYA SESIAPA PUN BOLEH BERTAMU MALAM INI. KITA BELASAH LE APA YANG PATUT DAN MANA SAHAJA YANG DIHIDANGKAN.

IDEA PERJUMPAAN MESRA SEPERTI INI SANGAT KREATIF DAN BOLEH DIIKUTI, KERANA SELAMA INI KITA HANYA KENAL DI MAYA, TIDAK REALITI. TETAPI BAGI DAERAH DAN NEGERI LAIN KHASNYA DI WP KUALA LUMPUR PERTEMUAN BLOGGER SERING DI ADAKAN PADA SETIAP HUJUNG MINGGU.

MENU JAMUAN MEMANG MENGANCAM KESELAMATAN, DENGAR CERITA AYAM KAMPUNG JAGUH MASAK UNGKEP, UDANG TUAHEA TIGA RASA, LOBSTER OPOR, DAN JALA URAI KARI AYAM, MEE BANDUNG MUAR DAN LAIN-LAIN LAGI LE, NGENCES LE SAYA MENDENGARNYA.

CUMA DALAM HATI BERBAUR ANTARA NAK DATANG ATAU TIDAK, SEBAB SAYA TAK BERAPA KENAL BLOGGER BP NI. TAPI OLEH KERANA PERJUMPAAN NI DI HARI BAIK DAN BULAN YANG MULIA, SAYA KETEPIKANNYA JUGA PERASAAN SEGAN DAN MALU , LALU MEMBUAT KEPUTUSAN INSYAALLAH SAYA AKAN CUBA HADIR.

SAYA MENDENGAR CERITA KEBANYAKAN DIANTARA MEREKA KEPALA MEMANG SEDAP DAN BOLEH JOIN.

APA-APA PUN INSYAALLAH PERGI, BUKANNYA APA UNTUK MENGERATKANLAH PERTALIAN SILATURAHIM DI ANTARA KITA SESAMA BLOGGER MUSLIM DI BULAN YANG MULIA INI.


JUMPA ANDA SEMUA DI SANA..........

18 September 2009

AIDILFITRI KALI INI.....


PELITA LIKUR






HUJAN


SETELAH MENUNGGU SELAMA SEBULAN
HARI INI ....
AIDILFITRI DAH BERTANDANGAN
BETUL-BETUL DIHADAPAN
PINTU
HATI DAN KEIMANAN KITA

"
"
ALANGKAH RIANG DAN LEGANYA
MENYAMBUT BULAN KEMENANGAN
SETELAH SEBULAN MELAWAN HAWA NAFSU..
MUSUH UTAMA DALAM DIRI SENDIRI..

"
"

TERINGAT KATA-KATA SEORANG PUJANGGA

"MENUNGGU SESUATU
TERASA TERSANGAT GHAIRAH
DAN LAMANYA....

APABILA TELAH BERTEMU
IANYA AKAN PERGI
DAN SEPERTI CEPAT MENINGGALKAN
KERANA KEGAIRAHAN RINDU YANG SEMAKIN PUDAR
DAN JAUH"


Begitulah akan hadir dalam sanubari
kita pada setiap tahun...
menunggu kedatangan Aidilfitri
sangat-sangat dinanti,
Apabila bertemu dengannya
kegairahan semakin berkurangan
ia seperti pantas berlalu
dan menjadi semakin jauh..

Perasaan ini hadir dalam diri
sejak kita kecil lagi hinggalah diusia sebegini

UNTUK TAHUN INI
APA YANG SANGAT MENARIK
BERSAMA AIDILFITRI

MUSIM HUJAN YANG DINGIN DAN INDAH
SERTA
PELITA LIKUR DAN NEON MENERANGI HALAMAN

16 September 2009

MALAM LAILATULQADAR



SALAH SATU BENTUK PEMANDANGAN
POHON KAYU YANG SEDANG SUJUD KE BUMI


Jika disebut Malam Lailatulqadar tentulah semua umat Islam dan kawan-kawan semua tahu akan kisahnya. Ianya merupakan satu malam yang ganjil dalam bulan Ramadhan, Malam Seribu Bulan dan ada diriwayatkan kemungkinan banyak berlaku di malam-malam 10 akhir Ramadhan.

Kejadian Malam Lailtulqadar ini terjadi pada diriku sendiri semasa usiaku lebih kurang 9 atau 10 tahun. Sungguhlah dengan mata kepalaku sendiri (seorang kanak-kanak nakal seusia itu menyaksikan satu kejadian ganjil di malam 10 akhir Ramadhan.

Ceritanya begini, jika tak silap aku malam itu merupakan malam ke 26 atau 27 Ramadhan, kerana pelita likur telah bernyala menerangi halaman luas rumah buruk dan kecil kami beberapa malam sebelumnya.

Seusai bersahur pagi itu, dengan cuaca dingin angin hutan di kampung waktu itu, aku terkokol didalam gebar ( selimut ) dilantai papan jarang yang beralaskan sekeping tikar mengkuang usang yang berlubang untuk menyambung mimpi indah Ramadhanku.

" Meng...pagi ini ikut abah pergi masjid untuk Solat Subuh.." kerah abah agak keras. Apa yang mampu nak ku sanggah, aku hanya akur dengan cadangan abah, kerana aku satu-satunya anak lelaki beliau, takan dia nak ajak kakakku yang dua orang tu pulak.

Tak lama kelihatan aku tertenggek membonceng ditempat duduk belakang basikal buruk abah, keriang...keriut..keriang...keriuuttt bunyi rantai basikal abah yang tidak berminyak itu mengikut gaya kayuhan abah.

Lebih kurang 10 minit berkayuh kami sudah menghampiri ke kawasan masjid. Alangkah terkejutnya aku, apabila aku lihat disekitar kawasan masjid pucuk-pucuk kelapa dan pohon-pohon di disekeliling masjid yang biasanya tinggi berdiri kini sujud menyembah bumi.

Aku teringatkan cerita seorang Ustaz yang memberi tazkirah mengenai Malam Lailatulqadar dan tanda-tandanya. Aku pasti pagi ni aku sangat bertuah kerana bertemu dengan Malam Seribu Bulan.

Aku pun mencuit pinggang abah. "Ohoooo pocot....jerit abah terperanjat dan geli dengan cuitan aku dipinggannya. Abah hilang kawalan dek cuitan geliku itu dan kami dua beranak teperosok kedalam parit disempadan pagar masjid.

" Apahal kau ni? Mencuit pinggang aku tak tentu pasal pulak?" bentak abah dengan nada marah kerana tubuh kami dibasahi air parit yang berlumpur.
" Bah...Lailatulqadar dah turun ..Bah....." jawabku sangat pasti.
"Lailatulqadar atuk kamu...Lailatulqadar apa bendanya?"
"Tu Abah tak nampak ke, pucuk kelapa, pucuk getah dan pucuk Bachang semua dah sujud ketanah..tu hah.", balasku sangat yakin.
"Lalaitulqadar kepala hotak kau..kan ke kawasan masjid ni nak diluaskan, pokok-pokok tu baru di tebang dua hari lepas, belum di kemaskan lagi".
"Dah berapa lama kau ni tak ke masjid ni? " tanya abah.

Aku terkedu dan haru tak membalas soalan cepumas abah. Pertama aku dah tak menemui Malam Lailatulqadar, kedua kami berdua beranak basah dalam lumpur dan ketiganya sejak beberapa hari nak menyambut raya ni aku main meriam buluh kat belakang rumah dah tak jengah masjid lagi, sebab raya dah dekat sangat ni.

Kejadian Malam Lailatulqadar itu sentiasa menjadi kenangan manis yang sangat lucu dan indah bagiku hingga sekarang. Bagi abah aku tak tahu, kerana aku tak pernah menceritakan kepada sesiapa pun.

Untuk Abah...Salam Aidilfitri dan aku mohon ampun dan maaf banyak-banyak, Abah.

......KAMI SEMUA SAYANG ABAH, APA LAGI SEJAK EMAK TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH TIGA TAHUN YANG LALU....DAN ALFATEHA BUAT ALLAHYARHAMAH EMAKKU MUDAH-MUDAHNAN ROHNYA DICUCURI RAHMAT JUA..........